Hiburan
“Bukan Masalah Rumah Tangga Atau Orang Ketiga, Tetapi...Pengorbanan” – Sheeda Dangdut Bercerai
Penyanyi dangdut Sheeda, 56, mengaku sudah bercerai dengan bekas suami, Sukri Hashim, 39, sejak lapan bulan lalu.
Sheeda berkata, penceraiannya dengan Sukri bukan disebabkan masalah rumah tangga atau orang ketiga, tetapi berlaku secara baik menerusi keputusan mahkamah.
"Di antara kami, tidak timbul masalah rumah tangga atau orang ketiga tetapi cukuplah saya katakan pengorbanan.
"Selama 12 tahun hidup bersama, bekas suami saya memang lelaki yang baik dan sangat penyayang.
"Cuma, sudah tiba masa untuk kami membawa haluan masing-masing ke arah kehidupan lebih baik," katanya.
Katanya, sebelum membuat keputusan bercerai dia membuat solat istikharah dan solat hajat.
"Bukan mudah untuk saya buat keputusan untuk bercerai itu. Tetapi, saya fikir pengorbanan perlu dilakukan.
"Saya nak bekas suami menjalani kehidupan lebih baik pada masa akan datang. Apatah lagi, perbezaan jarak usia 17 tahun di antara kami," katanya.
Ditanya mengenai hubungan dengan bekas suami, menurutnya hubungan mereka masih baik seperti dahulu.
"Kami bersahabat baik kerana anak. Apatah lagi, saya dan Sukri ada zuriat hasil perkongsian hidup bersama iaitu Muhammad Aiman yang tahun ini berusia 12 tahun.
"Walaupun hubungan halal kami terputus, tetapi Sukri adalah bapa kepada anak saya," katanya.
Ditanya juga betapa dia bijak mengunci mulut sembunyikan perceraian itu, Sheeda berkata ia bukan perkara gembira untuk dikongsi serta-merta.
Katanya, dia memerlukan masa untuk mencari kekuatan diri terlebih dahulu sebelum sedia membicarakannya kepada umum dan media.
Sheeda dan Sukri yang juga seorang guru berkahwin pada sekitar 2007, meskipun ketika itu Sheeda berstatus ibu tunggal tiga anak.
Sumber: Harian Metro