Hiburan
Bukan Mencari Keuntungan, Sekarang Masa Untuk Kami Berbakti - Damasutra
Kumpulan popular 90an, Damasutra, memberitahu sekarang adalah masa yang sesuai untuk berbakti semula kepada masyarakat selepas selepas beberapa tahun menyepi dalam industri muzik.
Menurut vokalis Damasutra, Bagio, dia mengambil pendekatan ini untuk membantu rakyat Rohingya yang memerlukan dengan membuat persembahan di Hard Rock Cafe pada 17 Disember ini.
"Sejujurnya memang kami teruja untuk membuat satu aktiviti yang dulu kami semua tidak pernah sempat lakukannya kerana sibuk.
"Kami ingin membuat sesuatu yang akan memberi manfaat kepada kami dan orang diluar sana terutama rakyat di Rohingya.
"Dulu mungkin masa untuk kami mencari duit sepenuhnya kini biarlah kami pula berbakti pada yang memerlukan.
"Persembahan yang diadakan ini juga secara tidak langsung kami dapat mengajak peminat-peminat kami untuk turut sama menderma sambil berhibur," katanya kepada Astro Gempak.
Bagio berkata demikian ketika mempromosikan 'Live Music' Amal: Damasutra - Air Mata Rohingya, di Astro, baru-baru ini.
Damasutra dianggotai oleh Bagio (vocal), Amran (bass), Alok (lead guitar) dan Assu (drum).
Sepanjang persembahan selama 2 jam ini, orang ramai akan disajikan dengan lagu-lagu hit dendangan Damasutra.
Peminat juga akan turut dihiburkan oleh artis-artis dari Padi Records dan Solaris Music seperti Ammy Fara dari Thailand, Real Spin dan Ezza dari Filipina sebagai artis undangan.
Peminat yang ingin menyaksikan persembahan kumpulan Damasutra boleh mendapatkan tiket di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur dengan berharga RM65 seorang.
Selain itu, orang ramai juga boleh turut menderma dengan membeli baju t eksklusif Damasutra berharga RM50.
Segala kutipan penjualan tiket dan baju t eksklusif yang diadakan itu akan didermakan kepada mangsa Rohingya untuk membeli set solar bagi menerangi rumah dan masjid di kampung-kampung yang menempatkan pelarian Rohingya.
Teks: Rozaimi Zubaidi