Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Bukan Nak Cipta Content, Boleh Rasa Badan Tak Sihat” - Positif COVID-19, Janna Nick Kongsi RTK, PCR Pun Kena Marah

Mya Amri 26/02/2022 | 09:46 MYT

Pelakon Janna Nick memaklumkan dirinya positif COVID-19 selepas dua tahun berhati-hati mengelak jangkitan tersebut.

Menurut Janna, dia sendiri sudah dapat mengagak dirinya dijangkiti kerana mengalami beberapa simptom seperti sakit tekak dan badan selain demam.

“Itulah dia… Saya positif setelah dua tahun lebih bertarung dengan COVID ini. Walaupun sebenarnya kerja saya tak logik untuk saya tidak dijangkiti tapi saya akhirnya kecundang juga.

“Semalam masih okay, hari ini tekak rasa perit sangat. Lewat malam semalam dah mula demam, sejuk sangat, sakit-sakit badan dan hidung dah mula tersumbat.

“Doakan saya cepat sembuh dan saya minta maaf kepada sesiap yang ada berjumpa dengan saya. Saya minta maaf sangat-sangat,” katanya menerusi Instagram Story.

Janna berkongsi dia disahkan positif selepas melakukan ujian saringan RT-PCR (PCR) walaupun sebelum itu sudah melakukan ujian RTK Antigen (RTK-Ag) dan menunjukkan dirinya negatif.

Dalam pada itu, Janna juga menjelaskan perkongsian tersebut bukanlah bertujuan untuk mencipta kandungan (create content) seperti didakwa sesetengah netizen.

“Sebenarnya semalam ramai yang hantar mesej peribadi (DM) cakap macam eh dah negatif tu negatif sahajalah tak payah lah 'kalut' nak positif.

“Saya bukan saja nak create content ke, terhegeh-hegeh nak pergi buat RTK, buat PCR nak kata yang saya ni positif… Sebab kita boleh rasa badan kita.

“Yang kita rasa badan ini macam tak sihat, pelik sebab saya ni bukan jenis orang yang senang sakit. Jadi saya dah boleh agak dah saya positif tu yang saya pergi juga buat PCR semalam,” jelasnya.

Selain Janna, selebriti lain yang turut mengalami nasib yang sama antaranya Syatilla Melvin, Uyaina Arshad, Achey dan Radin.

#Janna Nick #COVID-19 #Positif Covid-19 #PCR #RTK
;