Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Bukan Untuk Pengantin Kayangan Saja! Rizman Ruzaini Lancar RR Bride RTW Yang Mampu Milik Sangat

Amri Hassan 05/10/2022 | 13:34 MYT

Bajet tidak lagi menjadi halangan buat bakal mempelai untuk menyarung persalinan rekaan pereka fesyen duo terkenal, Rizman Ruzaini!

Jenama tempatan itu akhirnya memperkenalkan rangkaian 'ready to wear' (RTW) menerusi koleksi baju pengantin RR Bridal RTW: Ijab Kabul 2022/2023.
Kata Ketua Pegawai Eksekutif Rizman Ruzaini, Rizman Nordin, harga kini tidak lagi menjadi halangan untuk pasangan raja sehari menyarung rekaan mereka.
"Sejak bertapak 17 tahun lalu, pakaian pengantin sememangnya menjadi antara rekaan yang sinonim dengan jenama kami. Tidak dinafikan, apabila melihat golongan selebriti dan orang ternama memilih jenama kami di hari perkahwinan mereka, ada antara orang ramai teringin untuk menyarungkan Rizman Ruzaini.
"Namun, soal harga selalunya menjadi halangan dan kebanyakan mereka akan terus berkata ‘kami tak mampu’. Maka, kerana itulah munculnya RR Bridal RTW: Ijab Kabul 2022/23 sebagai tanda kasih sayang kami kepada mereka untuk tampil paling menawan pada harga mampu milik di hari bahagia nanti," ujarnya.

Kualiti premium

Biarpun dijual dengan harga mampu milik, Rizman akan memastikan kualiti pakaian yang dihasilkan kekal pada tahap premium.

"Antara material yang digunakan dalam rekaan ini ialah songket, heavy ghughori, sifon, taffeta, pleated net dan renda. Warna-warna yang dipilih pula hanyalah daripada rona putih, silver dan keunguan untuk mengekalkan ciri-ciri pengantin malar segar, suci dan manis.

A post shared by rizmanruzaini (@rizmanruzaini)

"Berbeza dengan Rizman Ruzaini, segmen atau jenama RR ini kami peruntukkan untuk pengeluaran yang lebih besar. Harga helaian RR Bridal RTW: Ijab Kabul 2022/23 bermula daripada harga RM699 hingga RM1499.
"Walaupun berstatus RTW, untuk koleksi ini, pakaian hanya akan disediakan selepas mendapat pengesahan pesanan.
"Tetapi jangan risau, pesanan hanya akan mengambil masa dua minggu sahaja untuk disiapkan dan sampai kepada pelanggan. Tempahan boleh dibuat melalui laman sesawang kami, rizmanruzaini.com," tambahnya.
Raysha Rizrose jadi muse
Untuk koleksi RR Bridal RTW: Ijab Kabul 2022/23, pelakon dan model Raysha Rizrose dilantik sebagai wajah utama (muse).
"Dia sudah naik seri. Masa kita buat penggambaran pun setiap sudut gambar yang diambil nampak dia cantik dan berseri-seri. Insya-Allah kalau tiba hari bahagianya nanti, kita akan buatkan persalinan khas untuknya," kata Rizman lagi.

A post shared by rizmanruzaini (@rizmanruzaini)

#Viral #Fesyen #Raysha Rizrose #Pengantin #Rizman Ruzaini #RR Bridal
;