Hiburan
Bunga Isme Teruja Dapat Nyanyi Lagu 'Welcome Back' Dengan Ali Gatie
Penyanyi Bunga Isme akui berasa terharu apabila berpeluang untuk menyanyi bersama penyanyi antarabangsa, Ali Gatie.
Menurut Bunga, proses menyanyikan semula lagu 'Welcome Back' dalam versi bahasa Melayu itu berjalan lancar.
“Saya amat terharu apabila diberikan peluang untuk menyanyikan semula lagu ‘Welcome Back’ dengan artis kesukaan saya, Ali Gatie.
"Penghasilan lagu ini boleh dikatakan mudah kerana ia merupakan antara lagu kesukaan saya.
"Jadi saya dapat menghasilkan lirik lagu ini dan merekodkan verse dengan senang dan semula jadi," katanya.
Tambah Bunga atau nama penuhnya, Noor Ayu Fatini, 20, dia berharap agar pendengar dapat bersama-sama menikmati lagu ini.
"Saya berharap para pendengar dapat menerima dan menikmati lagu 'Welcome Back’ versi ini seperti saya menikmati lagu ini," katanya lagi.
Sebelum ini, single ini dinyanyikan Ali bersama Alessia Cara, dan kemunculan Bunga merupakan untuk projek kolaborasi Ali bersama wakil dari Malaysia.
Lirik nyanyian semula ini ditulis oleh Bunga bersama Amzar Sabri dan dihasilkan oleh Rozhan Razman dari Playspace.
Welcome Back boleh didengari di laman Youtube Warner Music Malaysia sejak Khamis lalu.