Laman Utama
Bunkface Tidak Hanya Rock In Borneo Tapi Korang ‘Rock The Industry’
Jika seorang penggemar yang perdana kali mengenal dan mendengar Bunkface sewaktu masih tadika lalu pada usia 21 tahun tetap setia dengan kugiran ini, apa yang mahu dikatakan lagi tentang saktinya karya-karya mereka.
Apatah lagi dia menjadi orang pertama yang hadir seawal 10 pagi hanya untuk mengambil tiket Konsert Bunkface Rock In Borneo yang berlangsung di The Kadazan Dusun Cultural Association Sabah (KDCA), Kota Kinabalu.
Konsert yang dibawakan oleh Bunkface Production dengan dukungan penuh My Creative Ventures ini akan berlangsung sekitar pukul 8 malam.
Ini juga menjadi momen perdana kali Bunkface melaksanakan konsert berskala besar di Sabah, justeru tidak hairan jika penggemar atau digelar Bunkers mungkin sudah tidak lena tidur pada malam sebelumnya demi menonton mereka di depan mata.
Lewat kisah Aril yang mengenal Bunkface sejak zaman EP dan lagu-lagu Inggerisnya, penulis percaya sekitar dua ribu Bunkers yang hadir juga punya kisah peribadi tersendiri bagaimana boleh kecanduan dengan kugiran ini.
Muzik Bunkface mengalirkan listriknya saat belantika hiburan tempatan semarak dengan aliran yang digelar underground sekitar tahun 2005-2006. Bunkface saat awal kemunculannya dikenal dengan genre punk rock, pop punk dan alternatif rock. Muzik mereka segar, sesuai dengan anak-anak muda di zaman itu.
Zaman bermain di gig-gig kecil mendewasakan Bunkface bukan sahaja daripada cara bermain dan berkomunikasi tetapi jauh lebih penting adalah ekspresi serta kualiti yang ditonjolkan saat usia kugiran itu sudah meladeni sejak terajang ‘politik seni’ lebih 15 tahun.
Terlihat dengan jelas pada malam konsert, Bunkface menjadi sangat dewasa dan matang. Permainan dan persembahan muzik mereka lebih ‘berisi’ sekaligus membuktikan betapa rentas masa dengan segudang pengalaman yang telah diteroka membuat Bunkface ‘membumi’ tapi ‘melangit’ prestasi.
Di Konsert Bunkface Rock In Borneo, muzik kugiran yang diperjuangkan oleh Sam, Youk, Paan dan Biak ini bergema memecah ruang KDCA bersaing dengan keghairahan Bunkers.
Dan Bunkers Sabah adalah luar biasa energetik. Jika Sam di atas panggung terlihat lincah, Bunkers malah punya energi berganda yang diserap beramai-ramai ; menyanyi seirama dan menikmati persembahan dengan penuh antusias.
Bayangkan seawal Bunk Anthem dialun membawa kepada hit-hit lainnya yang seperti Rentak Laguku, Kembali, Malam Ini Kita Punya dan Darah Muda yang sangat upbeat, tidak ada Bunkers yang tidak ‘histeria’.
Suasana menjadi tidak terkendali (secara positif tentunya) kerana Bunkface yang sudah ribuan kali bermain di atas panggung tahu bagaimana untuk berpesta.
Banyak kali diselang seli nyanyian, sang vokalis si Sam bijaksana memancing hati Bunkers dengan ucap ‘cinta’ dan lebih beruntung apabila ada yang dapat naik ke panggung lalu berpadu suara menyanyi bersama Bunkface.
Sistem bunyi yang padu. Simbahan lampu yang on point. Kerja produksi daripada segerombolan anak muda untuk konsert lokal yang power. Persembahan pentas yang menonjolkan sifat muzik, attitude ketiga-tiga anak seni ini beraksi sudah membuatkan seluruh konsert tersebut sempurna.
Lebih sempurna apabila Bunkface mendendangkan lagu-lagu Inggeris mereka yang jarang didengar di corong radio namun sudah dihadam lumat oleh semua Bunkers.
Lantunan seperti Silly Lilly, High School Rocker dan Fine. Dan Sam tidak mengecewakan Bunkers apabila melayan permintaan mereka mendendangkan lagu pilihan sementara anggota lain ‘mencuri nafas’ sebentar.
Dan tentulah tidak lengkap konsert Bunkface tanpa ‘lagu-lagu kebangsaan’ seperti Panik, Situasi dan Revolusi. Tiga lagu tersebut menjadi anthem penutup yang membuat seluruh KDCA ‘pecah’ — di antara bahagia dan sebak para penggemar serta Bunkface dengan perjalanan konsert pada malam itu.
Maka berakhirlah konsert yang turut didukung oleh Era Sabah (rakan rasmi radio), Ratu Bayu Holidays (Rakan Rasmi Pelancongan), Ming Garden Hotel & Residences (rakan rasmi penginapan), Batik Air (rakan rasmi penerbangan) dan Tapau Asia (rakan rasmi tiket) dengan jayanya.
Namun ia bukan pengakhiran buat Bunkface. Lagu Korang masih giat dipromosi sementara single bakal rilis berjudul Hilang yang sempat dipersembahkan pada malam konsert menjadi indikasi panjang lagi hayat Bunkface kerana akui mereka akan menyusul beberapa projek seterusnya nanti.
“Alhamdulillah aprisiasi yang didapatkan daripada peminat di Sabah memang luar biasa. Memang berbaloi perjalanan Bunkface selama ini.
“Banyak perancangan lagi yang ke depan, misalnya hasrat kami untuk meneruskan siri Bunkface Rock In Borneo ke daerah Sabah yang lainnya serta Sarawak,” ujar Bunkface yang ditemui media usai konsert berlangsung.
Semoga rencana kecil atau rencana besar yang disusun mereka terlaksana kelak.
Dan tolong perhatikan Bunkface, jangan sampai mereka hilang dari radar hiburan tempatan kerana revolusi muzik generasi kini ada dalam darah mereka.