Berita
Bunuh Altantuya: Hukuman Mati Azilah Diganti Penjara 40 Tahun, 12 Sebatan
Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri yang membunuh seorang wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, 18 tahun lalu, terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis, menggantikannya kepada hukuman penjara selama 40 tahun.
BERITA TRENDING: Keluarga Altantuya Menang Saman RM5 Juta
Panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membenarkan permohonan semakan hukuman Azilah, 48, untuk mengetepikan hukuman yang dikenakan terhadapnya.
“Permohonan diterima, hukuman gantung ditukarkan kepada penjara 40 tahun bermula tarikh tangkap 1 November 2006 dan dikenakan 12 sebatan,” kata Tengku Maimun yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan.
Sebelum ini, dia memohon hukuman mati itu diganti dengan hukuman penjara berikutan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada 4 Julai 2023.
Di bawah undang-undang baharu itu, hakim mempunyai kuasa budi bicara untuk mengenakan sama ada hukuman mati atau pemenjaraan antara 30 hingga 40 tahun.
Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah lelaki berusia di bawah 50 tahun berdepan sebatan minimum sebanyak 12 kali.
BERITA TRENDING: Sirul Mungkin Kena Penjara Seumur Hidup Jika Pulang Ke Malaysia
Azilah telah disabitkan bersalah pada tahun 2009 bersama seorang lagi bekas anggota polis, Koperal Sirul Azhar Umar kerana membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam, Selangor antara jam 10 malam 19 Oktober 2006 hingga 1 pagi keesokannya.
Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menjatuhi mereka hukuman mati sementara, penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat melakukan pembunuhan tersebut.
Pada 2013, Azilah dan Sirul Azhar dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan namun, dua tahun kemudian iaitu pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan itu dengan mengekalkan sabitan serta hukuman mati terhadap mereka.
Sirul Azhar tidak hadir untuk mendengar keputusan Mahkamah Persekutuan itu kerana melarikan diri ke Australia pada 2006 di mana dia ditahan di bawah undang-undang Imigresen sebelum dibebaskan pada akhir tahun lepas.
Pada 2020, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Azilah untuk dibicarakan semula dan semakan sabitan terhadapnya.
Media melaporkan bahawa Azilah turut memohon pengampuran Diraja daripada Sultan Selangor.
Pada 2022, keluarga Altantuya menang dalam saman terhadap Azilah, Sirul Azhar, Abdul Razak dan Kerajaan selaku defendan-defendan.
Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan defendan-defendan membayar ganti rugi sebanyak RM5 juta kepada keluarga wanita itu.
Bagaimanapun, kes itu masih di peringkat Mahkamah Rayuan.
Altantuya yang dilaporkan berperanan sebagai penterjemah proses rundingan penjualan kapal selam oleh sebuah syarikat pembekal senjata dari Perancis, DNS kepada kerajaan Malaysia, dibunuh dua pengawal peribadi Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, pada 18 Oktober 2006.
Berikutan itu, dua anggota UTK iaitu Sirul Azhar yang semasa kejadian, berpangkat Koperal dan Cif Inspektor Azilah ditangkap sebelum didakwa di Mahkamah Shah Alam kerana membunuh Altantuya, pada November 2006. -Sinar Harian