Berita
Bunyi Siren Kecemasan Ingatkan Fire Drill, Rupa-Rupanya Kebakaran - Karl Shafek Panik Nyaris Terperangkap Dalam Mid Valley
Pelakon dan pengacara Karl Shafek terkejut dan panik apabila terperangkap di dalam pusat beli-belah Mid Valley ketika kebakaran berlaku malam tadi.
Kata Karl, 37, dia bersama temannya tidak menyangka siren kecemasan yang dibunyikan tanpa henti sekitar pukul 7 petang semalam adalah amaran untuk mengosongkan bangunan.
"Ingatkan fire drill, tapi pelik pula kalau pengurusan buat fire drill ketika hujung minggu dan ramai pengunjung.
"Siren itu dibunyikan agak lama dan saya lihat semua premis menutup kedai tergesa-gesa dan meminta pengunjung untuk keluar dari bangunan.
"Malah, pengumuman juga dibuat dalam keadaan panik.
"Lantas, saya menyegerakan urusan di sebuah butik pakaian di tingkat lima Mid Valley ketika itu dan berlari keluar daripada bangunan. Semua orang tergesa-gesa bertempiaran mencari jalan keluar ketika itu.
"Saya sendiri pun blur tiba-tiba. Mungkin sebab tak pernah lalui situasi sebegini.
"Dalam kepala saya hanya mahu keluar daripada bangunan kerana risau kebakaran menjadi lebih buruk. Memang takut dan panik!" katanya ketika dihubungi Astro Gempak.
Karl bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari pintu tengah dan keluar dari premis itu sebelum anggota bomba tiba pada pukul 7.30 petang.
Selepas lima bulan, pusat beli-belah Mid Valley sekali lagi digemparkan dengan kebakaran kecil yang berlaku di sebuah kedai serbaneka aras LG petang semalam.
Bagaimanapun, punca kejadian masih dikenal pasti.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto & Video: Karl Shafek