Laman Utama
Cassidy Le Creme Cemas Rumah Dilanda Gempa Bumi - "Saya Nampak Tuala Di Dinding Bergoyang-Goyang!"
Penyanyi Australia yang mencipta nama di Malaysia, Cassidy La Creme berdepan detik cemas apabila kediamannya dilanda gempa bumi awal pagi tadi.
Dipercayai gempa bumi itu berlaku di sekitar Melbourne, Australia, berhampiran kawasan kediamannya.
"Kami baru saja mengalami gempa bumi, ia tidak teruk tapi saya keluar dari bilik sebaik saja merasai gegaran itu.
"Saya nampak tuala bergoyang-goyang walaupun disangkut pada dinding. Saya tertanya-tanya apa yang sedang berlaku.
"Saya kemudiannya bertanyakan ibu dan ayah saya adakah mereka pun turut merasainya, tapi ibu saya menyoal saya semula adakah saya mengambil apa-apa bahan terlarang pagi ini?
"Tak lama selepas itu berita tentang bencana alam itu keluar di radio," katanya.
Menurut laporan berita tempatan, berlaku gegaran pada magnitud 5.8 skala Richter di kawasan tenggara Australia pada pagi ini.
Gempa bumi yang jarang berlaku di wilayah itu dikesan pada pukul 9 pagi waktu tempatan dan gegaran dirasai hingga ratusan kilometer dari pusat gempa.
Penduduk tempatan juga dilaporkan bertempiaran lari meninggalkan premis masing-masing selepas merasai gegaran kuat.