Celine Dion Buat Kejutan, Nampak Sihat Dalam Kemunculan Pertama Di Grammy 2024
Pesohor Celine Dion membuat kejutan apabila tampil sebagai penyampai anugerah dalam anugerah Album of The Year di Grammy 2024 yang berlangsung di Crypto.com Arena, Los Angeles, California, Amerika Syarikat, hari ini.
Memakai busana berwarna coklat dengan potongan rambut separas bahu, Dion kelihatan sihat dan sedikit berisi berbanding penampilannya beberapa tahun sebelum ini.
Kemunculan di Grammy 2024 juga menjadi penampilan pertama Dion secara umum selepas didiagnos mengalami sindrom orang kaku atau stiff person syndrome (SPS), dua tahun lalu.
Disambut dengan sorakan gemuruh dan standing ovation, penyanyi My Heart Will Go On itu menyampaikan ucapan ringkas yang penuh makna.
“Apabila saya cakap gembira berada di sini saya maksudnya dari hati.
“Sesiapa yang berada di sini sangat bertuah, anugerah Grammy, jangan ambil remeh pada cinta dan kebahagiaan yang dicetuskan oleh muzik yang telah menyatukan kita di seluruh dunia,” kata Dion.
Dion menyampaikan anugerah Album of The Year yang dimenangi oleh Taylor Swift menerusi Midnights.