Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Cerai Isteri Selepas 2 Minggu Melahirkan Anak, Daus AF8 Terima Kecaman

Kamaruddin Razal 02/02/2019 | 08:11 MYT
Penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia 8 (AF8), Daus menerima kecaman selepas mendedahkan dia sudah bercerai talak satu pada pagi Jumaat dengan Syaza Shamimi Jalaludin Khan yang baru sahaja dua minggu melahirkan anak ketiga mereka.
Menurut Daus atau nama sebenarnya, Muhd Shahril Firdaus Eli, 31, perkahwinannya sudah lama tidak bahagia.
"Masyarakat boleh kata apa saja mengenai perceraian kami tetapi saya mahu menegaskan keputusan itu dibuat selepas berbincang secara mendalam dengan bekas isteri.
"Sebenarnya, rumah tangga kami sudah lama tidak bahagia iaitu sebelum bekas isteri hamil anak ketiga kami lagi.
"Sejujurnya siapa yang mahukan perceraian, tambahan pula anak-anak masih kecil tetapi bekas isteri tetap dengan pendiriannya... Untuk tidak memanjangkan isu rumah tangga kami saya bersetuju untuk menceraikannya secara baik.
"Keputusan ini dibuat pun selepas kami berfikir masak-masak, berbincang termasuklah merujuk kepada keluarga namun nampaknya jodoh kami hanya setakat ini," katanya.
Menerusi laporan MStar, Daus yang pernah popular menerusi lagu Kenapa dan Syaza, 32, bercerai secara baik di Mahkamah Rendah Syariah Bintulu, Sarawak dengan talak satu.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga anak iaitu Delysha Senzela, 5, Myesha Sehrish, 3, dan Ayesha Sheraz yang baru dilahirkan dua minggu lalu.
Daus juga menolak timbul isu orang ketiga dalam perhubungannya bersama Syaza.
"Perceraian itu terjadi disebabkan tiada lagi persefahaman ekoran terpaksa berjauhan. Saya menolak faktor kewujudan orang ketiga.
"Saya tidak menyalahkan bekas isteri dan menganggap apa yang berlaku adalah suratan takdir dan fokus saya kini adalah membesarkan tiga anak mereka.
"Saya hendak ulas banyak pun banyak hati yang perlu saya jaga tetapi hubungan jarak jauh itulah punca timbulnya masalah dalam rumah tangga kami.
"Apa yang penting kami bercerai secara baik. Sekiranya jodoh kami panjang... Saya terbuka hati untuk kembali rujuk dan berharap masyarakat mendoakan yang baik-baik buat kami," katanya yang bekerja di Bintulu, Sarawak dan bekas isterinya berada di Kuala Lumpur.
Namun begitu, Daus berhasrat berpindah ke ibu negara selepas perceraian.
Sumber: MStar Online
#Penyanyi #Penyanyi #Daus AF8
;