Hiburan
Cetak Rompak, Kongsi Filem Secara Haram: Masih Ada Yang Tak Sedar Diri Lagi Ke? Jaga-Jaga, Ada Yang Pernah Kena Denda Sampai RM100,000!
Masalah cetak rompak dalam industri hiburan sudah wujud semenjak sekian lama.
Jika dahulu, ada yang menjual video cakera padat (VCD) atau cakera serba guna digital (DVD) filem secara cetak rompak untuk mengaut keuntungan.
Peralihan ke era digital pula menyaksikan ada pihak tidak bertanggungjawab berkongsi filem di laman internet.
Malah, ada juga yang berani untuk mencuri rakam sesebuah filem di panggung wayang.
Kegiatan cetak rompak secara langsung atau 'live streaming' di laman sosial ini sudah melanggar hak harta intelek.
Sejak akhir-akhir ini, aktiviti haram sebegini dilihat semakin membimbangkan.
Bermula dari kes tahun 2013 yang melibatkan filem KL Gangster 2 yang 'bocor' di internet, masalah tersebut terus wujud dan menghantui pemain industri perfileman.
Dua filem arahan Osman Ali, Kau Yang Satu dan Pinjamkan Hatiku turut menjadi mangsa mereka yang tidak bertanggungjawab pada tahun 2017 dan laporan polis telah dibuat untuk memberikan pengajaran terhadap pelaku.
Kemuncaknya, filem Munafik 2 yang disiarkan pada tahun 2018 berdepan dengan masalah yang sama.
Penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam mengambil tindakan mahkamah terhadap seorang individu yang menyebarkan rakaman filem Munafik 2 tanpa kebenaran di media sosial.
Akibatnya, Mahkamah Majistret Taiping mengarahkan seorang jejaka, Muhammad Izwan Shah Kamal Shah untuk membayar RM100,000 kepada Skop Productions pada 13 November 2018 kerana menyebarkan secara haram filem Munafik 2 di laman Instagram dan Facebook miliknya yang menggunakan nama Sasuke Kun.
Izwan yang menyesali perbuatannya turut tampil meluahkan perasaan di laman Facebook.
Menariknya, perkongsian berkenaan mendapat perhatian netizen.
"Tindakan makhamah mengeluarkan perintah supaya membayar RM100,000 sebagai gantirugi kepada pihak Skop betul-betul membuatkan saya tersentak.
"Saya sekali lagi dgn rasa rendah diri... menyatakan saya amat menyesal dengan kesalahan yang telah saya lakukan. Tindakan mahkamah mengeluarkan perintah supaya membayar RM100,000 sebagai gantirugi kepada pihak Skop betul-betul membuatkan saya tersentak.
"Tapi saya sangat-sangat bersyukur,kerana tidak dikenakan hukuman penjara.. sekurang-kurangnya saya masih berkesempatan untuk menjaga kedua dua ibu bapa saya yang kian meningkat usia.
"Saya tak kisah saya tak ada kereta, tak ada rumah sendiri, walau tak ada jodoh sekalipun (tak kahwin)... yang penting saya masih diberi peluang untuk menjaga ibu bapa saya.
"Biarpun sepanjang hayat saya bekerja keras semata-mata untuk membayar gantirugi kepada pihak Skop, nilai RM100,000 tu teramatlah besar bagi orang biasa macam saya.
"Mustahil untuk saya mendapatkan jumlah tersebut walau saya dapat hidup 100 tahun sekalipun.. Tapi saya berjanji saya akan bayar juga walaupun sikit-sikit kepada pihak Skop," tulisnya.
Malangnya, rentetan kejadian terbabit tidak memberi kesedaran terhadap orang ramai.
Terbaru, filem Sangkar yang diterbitkan oleh Infinitus Gold, Primeworks Studios, Astro Shaw dan MM2 Entertainment telah dimuat turun secara haram di beberapa laman web dan media sosial yang menawarkan khidmat muat turun filem itu secara keseluruhan.
Meraih kutipan lebih RM12 juta dalam masa 24 hari tayangan, filem terbabit tetap menjadi mangsa mereka yang tidak bertanggungjawab.
Sikap sebegini harus dielakkan kerana ia mendatangkan masalah kepada diri sendiri.
Takkan nak tunggu kena denda sehingga ratusan ribu baru nak sedar, ibaratnya sudah terhantuk baru nak terngadah?
Ketika itu, sesal sudah tidak berguna kerana nasi sudah menjadi bubur!
Apa salahnya jika anda menyokong industri perfilem tempatan yang menyajikan pelbagai karya menarik.
Seperti contoh, filem Pusaka yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam mendapat respon yang sangat positif dari ramai pihak.
Tiada salahnya jika anda membelanjakan belasan ringgit untuk menonton karya arahan Razaisyam Rashid ini sendiri secara halal kerana ramai yang memberikan maklum balas yang baik terhadap naskhah ini.
Perkara ini juga menunjukkan sokongan anda terhadap pengkarya tempatan.
Menjelang tahun 2020 yang bakal menjelma kurang dua bulan, diharap segala aktiviti berkaitan cetak rompak ini dapat dihentikan demi kemajuan industri filem Malaysia.