Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Cetus Fenomena! Peminat Angkat Projek: Anchor SPM Drama Terbaik Malaysia, Cipta Aras Baru Industri Tempatan

Hanafis Haris 07/05/2021 | 03:55 MYT

Siapa sangka drama premium Astro Originals, Projek: Anchor SPM telah mencipta gelombang fenomenanya tersendiri apabila menerima sambutan hangat daripada penonton.

Berjaya cetus impak baru buat landskap industri seni tempatan, ia sekali gus menyaksikan anjakan paradigma buat Astro untuk terus menyajikan kandungan terbaik dan menawarkan pengalaman tontonan yang cukup optimum buat semua pelanggannya.
Untuk makluman, Projek: Anchor SPM yang melabuhkan tirai tayangan pada 3 Mei lalu terus merekodkan efek yang positif apabila jumlah tontonan atau kadar ‘rating’ yang dicatatkan di platform medium digital dan perkhidmatan kandungan over-the-top atau ‘OTT’ termasuk Astro GO, NJOI dan On Demand dilihat sangat memberansangkan.
Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Astro sebagai pemain industri utama terus memastikan kandungan yang dipersembahkan boleh memberi kepuasan kepada penonton serta mampu mencetuskan revolusi dalam industri seni lalu mengangkatnya ke tahap lebih tinggi, setanding dengan karya antarabangsa.
“Pihak kami rasa sangat gembira melihat momentum positif dan sokongan padu daripada penonton terhadap Projek: Anchor SPM.
“Meskipun ini adalah kali pertama genre ‘coming-of-age’ diperkenalkan kepada penonton Malaysia, namun penerimaannya telah terbukti dengan maklum balas di media sosial yang mana Projek: Anchor SPM dianggap sebagai satu tanda aras baru drama di Malaysia.
“Tambah menarik, bukan sahaja berjaya menarik penonton drama tempatan di televisyen, tetapi turut menerima pujian daripada golongan muda, sekali gus mewujudkan kelompok sasaran baru daripada generasi millennium untuk menghargai serta mempercayai bahawa karya tempatan juga setanding dengan antarabangsa,” katanya.
Jelasnya, Projek: Anchor SPM turut tular di platform media sosial setiap minggu ia bersiaran.

“Setiap minggu drama premium ini ‘trending’ di platform media sosial Twitter sejak episod pertama hingga episod akhir ditayangkan di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD), setiap hari Isnin, jam 9.00malam.

“Malah, di platform TikTok sahaja lebih 112.2 juta tontonan menerusi #Projek:Anchor SPM.
“Kami juga ingin merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada bakat kreatif dari pelbagai latar seperti pengarah disegani, Mamat Khalid, Razaiysam Rashid, Jason Chong serta generasi baru seperti Syahmi Sazli.
“Terima kasih juga kepada pasukan in-house Astro writers room yang diterajui oleh Anwari Ashraf, Alfie Palermo, Kyle Goonting kerana komited dalam memartabatkan konten tempatan dan menghasilkan kandungan segar dan unik.
“Nantikan sebuah lagi drama premium di bawah jenama Astro Originals, Dukun Diva bakal menyusul tidak lama lagi.” ujar Raja Jastina Raja Arshad lagi.

Sementara itu, menurut Pengarah Projek: Anchor SPM, Razaisyam Rashid, dia berterima kasih kepada penonton yang telah memberi reaksi menggalakkan sepanjang drama tersebut disiarkan.

“Saya menerima banyak komen dan pendapat penonton termasuklah daripada pengkritik filem bebas serta penggiat seni tanah air.

“Tidak kira komen positif mahupun negatif, saya terima semuanya sebagai senjata utama untuk terus komited menghasilkan sentuhan terbaik di masa akan datang.

“Bagi saya ia adalah sesuatu yang menarik apabila sinematografi, teknik pergerakan kamera dan penyuntingan Projek: Anchor SPM menjadi bualan mereka yang menontonnya.

“Secara tidak langsung ia menunjukkan penonton di luar sana sememangnya akan menyokong karya tempatan jika ia menepati citarasa mereka. Jadi, tidak mustahil untuk drama kita bersaing dengan drama dari negara luar.

"Terima kasih kepada pihak Astro kerana sentiasa membuka peluang untuk saya tampilkan sentuhan konsep dan genre berbeza pada setiap naskhah yang saya hasilkan.” katanya.
Pada masa sama Pengarah & Show Runner Projek: Anchor SPM, Anwari Ashraf bersyukur Projek: Anchor SPM mendapat sambutan di luar jangkaan.
“Rentetan daripada itu, ramai juga yang berkongsi di media sosial mengharapkan musim kedua atau kesinambungan drama tersebut. Saya yakin pasti ramai yang akan merindui watak-watak dalam drama ini kerana ramai yang telah jatuh cinta dengan setiap karakter.
“Apabila watak antagonis Hilmi juga menjadi debatan hangat penonton sehingga tular, ia menyaksikan karakter tersebut berjaya menjadi antara watak yang kuat kerana tidak selalu watak antagonis menonjol dan dalam masa yang sama berjaya memikat hati penonton daripada membenci watak tersebut.
“Saya amat berbesar hati kerana pihak Astro bukan sahaja memberi peluang kepada lapisan generasi muda untuk menyuarakan idea baru tetapi turut memberi kepercayaan kepada saya untuk mengarahkan naskhah ini.” katanya.

#Viral #SPM #Razaisyam #ProjekAnchorSPM #NadhirNasar #Hilmi
;