Laman Utama
Cetus Provokasi & Guna Nombor Plat Palsu, Pemandu Myvi Samseng Ditahan
Polis menahan seorang pemandu kereta Perodua Myvi yang disyaki membuat provokasi dan menghalang pemandu lain di jalan raya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Sarifuddin Mohd Salleh dalam kenyataan hari ini berkata lelaki tempatan berusia 32 tahun itu ditahan Isnin lepas dan siasatan awal polis mendapati nombor pendaftaran PGT124 kereta itu adalah palsu.
Kejadian membabitkan kereta Perodua Myvi berwarna putih itu tular di media sosial apabila video berdurasi 27 saat itu dimuat naik melalui laman sosial (FB) Inforoadblock memaparkan sebuah Perodua Myvi membuat provokasi dan halangan terhadap pemandu kenderaan lain.
"Selain itu, polis juga membuka siasatan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
"Polis memohon mangsa (pemilik video dashcam) dan saksi kejadian untuk tampil ke Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S.Lee bagi membantu siasatan," katanya sambil memberitahu lelaki terbabit direman sehingga 13 Mei.
Sarifuddin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Insp M.Vigneswaran di talian 017 4336110 atau Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03 20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03 20260267/69 atau balai polis berhampiran.
Sumber: Bernama