Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Sukan

Cheah Liek Hou Rancang Guna Insentif RM1 Juta Bantu Bekas Atlet Kurang Bernasib Baik - "Tiga Tahun Lepas Saya Sudah ..."

Gempak 12/09/2024 | 09:50 MYT

Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou mempunyai satu lagi perancangan untuk membelanjakan insentif kemenangan RM1 juta daripada Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) yang bakal diterimanya susulan kejayaan meraih pingat emas di temasya Sukan Paralimpik Paris 2024.

Atlet berusia 36 tahun berkata selain mahu membantu mereka yang memerlukan beliau juga akan menyumbang sebahagian daripada hadiah kemenangan itu untuk membantu bekas atlet yang kurang bernasib baik.

"Tiga tahun lepas saya sudah buat derma kepada badan kebajikan, anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan rumah orang tua.

"Jadi kali ini ada kelainan sikit, saya ingin membantu bekas alet yang berdepan kesusahan. "

Jadi mungkin saya akan keluar sedikit sumbangan kepada atlet-atlet yang sudah bersara dengan mempunyai fizikal yang kekurangan upaya atau dalam keadaan sangat-sangat susah," katanya ketika ditemui media dalam satu majlis oleh syarikat jam tangan yang meraikan beliau pada Rabu.

Terdahulu, Liek Hou berjaya menyumbang emas pertama Malaysia di Paralimpik Paris 2024 selepas menumbangkan wakil Indonesia, Suryo Nurgoho straight set 21-13, 21-15 pada aksi final.

Dalam pada itu beliau mengulangi pendiriannya untuk tidak mahu lagi menggantung raket dalam masa yang terdekat.

Katanya, segala sebarang perancangan untuk dirinya bersara hanya akan diketahui selepas temasya Sukan Para Asia 2026 di Nagoya Jepun.

"Saya akan tengok dua tahun depan di Sukan Para Asia. Kalau badan saya masih sanggup untuk mewakili, sihat dan cergas saya akan sambung lagi," katanya.

#Atlet #Cheah Liek Hou #Paralimpik Paris 2024
;