Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Chew Wei Lun Hadiahkan Pingat Perak Buat Malaysia Menerusi Sukan Boccia

Azwa Rahman 01/09/2021 | 09:21 MYT
Atlet Boccia negara Chew Wei Lun berjaya menghadiahkan pingat perak kepada kontinjen Malaysia menerusi acara Boccia Individu BC1 final di sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang berlangsung sebentar tadi.
Wei Lun menampilkan tentangan sengit kepada juara bertahan yang juga atlet nombor satu dunia dari Great Britain, David Smith sebelum tewas 2-4 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Pusat Gimnastik Ariake.
Tampil cemerlang sepanjang laluan ke final, Wei Lun cukup cemerlang mencatat rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan termasuk di peringkat kumpulan yang turut disertai pemenang pingat emas Sukan Para Asia 2018 dari Thailand, Witsanu Huadpradit.
Di laman sosial Twitter, ramai wargamaya menitipkan ucapan tahniah pada Wei Lun dan berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan.
“Tahniah! Alhamdulillah! Very good game lawan 1st ranked,” komen seorang wargamaya.
“Anda membuktikan pada #keluargamalaysia bahawa anda adalah insan yang sangat luar biasa. Semangat juang yang tiada tolok bandingannya. Anda memang #wira Malaysia. Perak yang anda miliki tetapi bagi #keluargamalaysia anda telah berikan Emas Tulen,” luah seorang wargamaya.
“so close, so proud of you Wei Lun.. silver medal,” kata seorang wargamaya.
“Syabas!! Anda memang hebat,” puji seorang wargamaya.
“Tahniah Wei Lun pengubat duka Msia. Kami amat berbangga dengan anda dan pengurusan kejurulatihan Boccia,” tulis seorang wargamaya lagi.
Untuk rekod, ini adalah penampilan sulung Wei Lun di temasya Paralimpik dan penyertaan pertama Malaysia dalam sukan ini.
#Tokyo #2020 #Chew Wei Lun #Pingat perak Boccia #Sukan paralimpik,
;