Filem
Chowrasta Kisah Benar Naib Canselor UiTM, Angkat Martabat Melayu
Mengangkat subjek utama yang diinspirasikan daripada kisah benar, filem terbaru arahan pengarah terkenal, Dato’ Profesor A. Razak Mohaideen berjudul Chowrasta bakal menjadi fenomena dalam industri perfileman tempatan apabila ditayangkan di seluruh Malaysia bermula 3 Disember.
Filem terbitan bersama FiTA Studios Sdn Bhd dan Nation Film Studio Sdn Bhd ini diadaptasi daripada buku semi-biografi Naib Canselor UiTM, Tan Sri Dato’ Sri Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar yang berjudul ‘Mencorak Destini’ berkisar mengenai perjuangan dalam memertabatkan bangsa Melayu.
Chowrasta sarat adegan penuh aksi, romantis dan elemen komedi sebagai formula utama bagi menarik minat khalayak. Bagaimanapun, paksi kisahnya masih dikekalkan dalam menterjemah mesej mengenai perjuangan dan perjalanan seorang lelaki mengubah nasib hidup anak bangsanya.
Sinopsisnya ringkas, Chowrasta mengisahkan perjalanan hidup seorang pemuda Melayu miskin yang sering dihina bernama Hamid, lakonan bintang baharu, Chem Ammar. Lantaran itu, Hamid
menyertai seni pertahankan diri Muay Thai dan kongsi gelap yang diketuai pak ciknya Uncle Don (Datuk Rosyam Nor), yang kemudian menasihatkannya melanjutkan pelajaran ke ITM, Shah Alam.
ITM tidak sekadar membentuk Hamid menjadi individu berguna malah turut bertemu cinta hatinya, Hanizah (Nora Danish). Namun, kemiskinan memaksa Hamid membuat kerja sambilan dan sekaligus gagal memberi tumpuan pada pelajaran sehingga disingkirkan daripada ITM.
Hamid kemudian diberi peluang kedua apabila seorang pensyarah sanggup membiayainya untuk kembali belajar di ITM. Bertitik-tolak dari situ, Hamid tidak menoleh ke belakang lagi dan bertekad ingin mengubah kehidupannya.
Menurut pengarah, Prof. A Razak, Chowrasta yang menelan kos penerbitan sekitar RM2 juta adalah sebuah biografi yang menyuntik semangat Melayu.
“Filem ini adalah hadiah kepada Alumni UiTM agar mereka menghargai segala pengorbanan yang dilakukan oleh UiTM dalam mengubah destini anak bangsa,” katanya.
Filem yang berlatar belakang tahun 60an dan 70an ini juga mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records selepas berjaya mencatat jumlah penonton paling ramai iaitu 4,416 penonton semasa tayangan perdana pada awal Jun lalu.
Membariskan pelakon terkenal tanahair seperti Datuk Rosyam Nor, Nora Danish, Fauzi Nawawi, Wan Hanafi Su dan Nur Risteena Munim, Chowrasta turut memperkenalkan pelakon baharu, Chem Ammar.
Chowrasta bakal menggegarkan lebih 60 buah pawagam di seluruh Malaysia bermula 3 Disember depan.