Laman Utama
Cinta Hilang Kata - Prolog | Bab 3
3
Mahyun, Sabirah & Amirul
Lemak manis buah berangan,
Sayang rentung hangus di pasu;
Terkapai hidup hilang pegangan,
Nakhoda terpasung di penjara nafsu
MALAM KIAN LARUT dalam kedinginan. Bulan yang diselindung awan, bertukar warna pinang masak. Mahyun memandang ke luar jendela bilik. Oh, ke mana dia? Masih belum pulang? Mahyun resah. Dia cuba lena di sisi dua anak kembarnya, Zaili dan Sabirah. Tetapi sukar melelapkan mata. Tatkala jam hampir pukul dua pagi, pintu rumah bagai digegar. Dia cepat-cepat bangun dan membuka kunci pintu rumah.
“Awak mabuk lagi?”
“Kau diamlah!” Suara Taib menyergahnya semula.
Hampir setiap malam Mahyun dalam wajah yang merah menahan tangis dan perasaan sebak, menegur bapa Zaili dan Sabirah.
Sesekali Taib menafikan, tetapi perlakuannya cukup untuk memberi satu jawapan pasti. Bau arak yang membuatkan si isteri mual sudah menjadi perkara biasa melekat pada tubuh Taib.
“Bila awak nak berubah?” Harapan si isteri tidak pernah pudar untuk melihat Taib berubah. Dia sentiasa mengharapkan ada keajaiban berlaku. Doa memang tidak pernah putus membasahi bibir. Si isteri sentiasa bermohon agar ketagihan arak yang melingkari hidup Taib akan berakhir suatu hari nanti.
Namun harapan yang diberi tetap tinggal harapan. Dugaan yang menghimpit keluarga ini semakin mencengkam. Panasaran menjaga, mengasuh dan menanggung dua anak yang kecil menyebabkan perasaannya semakin tertekan. Malah ada ketika nasihat dan pertanyaan yang dilemparkan pada suami hanya menyebabkan mereka bertelingkah.
“Kau tak perlu nasihatkan aku. Apa yang aku buat urusan aku. Kau tak perlu masuk campur.” Taib bongkak memangkah kata isteri. Mahyun tersentak dan menyirap darahnya.
“Awak bersundal dengan perempuan kelab?” Tidak cukup dengan masalah ketagihan arak, sikap Taib yang suka berfoya-foya menambahkan dendam di hati.
“Aku bersundal ke... aku berjoget sampai telentang dekat kelab tu ke... kau peduli apa! Kau tu betina tua! Kering gersang! Kau jaga aje anak kat rumah diam-diam.”
“Kalau dua budak tu boleh makan pasir, tak apa! Ni nak beli beras segenggam pun tak berduit. Orang keliling pun bencikan kita, tahu tak???” Mahyun hilang sabar. Hampir menitis air matanya mengenangkan nasib dua orang permata hatinya.
“Kalau kau kata tak berduit beli beras, hah, kau ajarlah anak-anak kau makan pasir! Kan senang? Aku nak beli ganja pun aku meminjam orang, tahu tak?” Serentak itu juga tudung periuk melayang ke muka Taib.
“Jantan tak guna! Kau memang jantan bangkai!!!” Mahyun menjerit tanpa peduli kalau-kalau anak atau jiran terdekat dengar. Perasaan malu bagai sudah tiada dalam dirinya. Kalau sudah tidak terdaya, Mahyun akan mengadu pada tok wan.
“Ah, dia memang tak layak jadi suami. Kau menjanda pun senang hidup kau! Dah tentu janda, mintak duit orang pun tak adalah malu!” Tok wan sering melafazkan kata-kata yang menikam perasaan. Sabirah dengan Zaili tidak akan pernah lupa detik getir itu. Membesar dengan kasih sayang serta perhatian seorang bapa tidak pernah ada di dalam kamus hidup Sabirah dan Zaili. Sesekali Sabirah dan Zaili akan mengintai-intai di balik pintu bilik rumah tok wan. Ada ketika mereka mencuri lihat segala perlakuan anak-anak muda yang berkumpul di situ. Aneh dan ganjil perbuatan mereka. Waktu itu Sabirah dan Zaili masih kecil. Namun lama-kelamaan mereka semakin lali dengan segala yang terbentang di hadapan mata.
“Hei Birah... Zaili! Apa kau buat tu?”
Mereka juga sering disergah oleh lelaki-lelaki itu. Dan dalam kumpulan anak muda itu ada bapa mereka.
“Birah, Zaili... kau kecik lagi. Bila dah besar, baru kau boleh buat apa yang kami buat!” tegur bapa dua beradik kembar itu disambut dengan deraian gelak ketawa mereka yang lain. Sabirah dan Zaili masih ingat lagi. Mereka terpinga-pinga waktu itu. Bau busuk menyelubungi kawasan itu. Ya, itulah bau ganja sebenarnya. Bapa yang sewajarnya memberi contoh, didikan dan kasih sayang kepada mereka tidak seperti yang diharapkan. Sabirah dan Zaili bukan sahaja kehilangan perhatian seorang bapa, malah mereka juga keliru dengan segala perlakuan songsangnya. Ganja menjadi perkara yang amat sebati dalam kehidupan mereka kerana bapa mereka adalah penagih ganja tegar.
Jikalau dahulu Sabirah dan Zaili hanya mendengar cerita buruk tentang bapa mereka yang ketagih arak, kini mereka berdepan dengan satu situasi yang lebih kacau-bilau. Ganja adalah sebahagian daripada hidup orang tua itu. Malah lelaki itu tidak segan-silu menghisap ganja di hadapan mereka yang masih kecil itu. Setiap perlakuan itu diperhatikan Sabirah dan Zaili dengan penuh minat.
Sabirah dan Zaili amat keliru. Di hadapan mereka segala-galanya menjadi kelam dan membingungkan. Benar... mereka terlalu kecil kalau mahu diukur daripada segala penderitaan yang harus diharungi selama ini. Namun mereka sebenarnya sudah terlalu matang dek dugaan yang tidak henti-henti singgah seumpama ribut.
“Hai Zaili... Anak Taib, kan? Kau ni kenapa gendut, tak macam ayah kamulah!” Selalu benar Zaili diusik oleh pengunjung kelab hiburan itu. Zaili hanya mampu tersipu-sipu malu apabila ditegur begitu. Sabirah juga tersenyum bercampur gementar. Ada ketikanya Zaili yang masih berusia lapan tahun itu ditarik dan didudukkan di atas ribaan perempuan-perempuan kelab malam itu. Dia yang menjadi pengunjung termuda di kelab itu sering menarik perhatian ramai. Lama-kelamaan, Zaili menjadi lali apabila sering dilayan oleh perempuan-perempuan kelab itu.
“Kalau Zaili sudah besar, mesti saya pilih Zaili jadi kekasih!” Ada ketika gurauan dan usikan nakal mereka yang berada di kelab hiburan itu keterlaluan. Zaili terlalu kecil untuk memahaminya. Perempuan pelayan yang sudah pasti berpakaian seksi dan membangkitkan nafsu lelaki yang melihat sudah menjadi perkara biasa bagi Zaili. Sabirah pula selalu dicuit-cuit jantan miang di situ. Dan bapanya terus hanyut dalam dunia ciptaannya sendiri.
Taib akan minum arak sehingga termuntah, berdansa sampai tersungkur di tengah pentas, berangkulan, berpeluk serta berkucupan menjadi bahan tontonan Sabirah dan Zaili tanpa sebarang halangan. Perempuan pelayan murahan dan turut sama merokok sekali gus mabuk, bukan lagi satu perkara ganjil bagi mereka dua beradik. Di sekolah mereka sering tersisih dan dicerca. Kampung mereka bukannya besar mana, daerah mereka tidak luas mana. Cerita yang busuk bernanah begitu cepat sahaja dijaja orang.
“Jangan kawan dengan dia orang. Budak gendut tu bapak dia kaki taik ganja!”
“Bapak dia tu jual dadah. Jahat. Tu sebab badan dia busuk.”
“Yelah, kembar dua orang tu busuk! Bau ganja, bau arak!”
“Mak aku cerita sama jiran aku, kekadang dia orang tu ikut bapak dia pergi kelab malam. Eee... budak-budak mana boleh pergi kelab, kan?” Zaili tidak mampu berkata apa-apa. Sabirah selalu mengetap bibir menahan geram, menyimpan dendam. Setiap malam dia mencatat cerita sendiri dalam buku notanya. Dia menyimpul angan-angan. Dia berikrar dalam hati. Tunggulah aku besar! Tunggulah nanti! Semua orang akan pandang aku! Semua orang akan terkejar-kejar pada aku. Menyesallah nanti sesiapa yang cari musuh dengan aku. Nantilah detik tu!
Sabirah semakin kerap menyendiri. Diam tenggelam dalam dunia dendam. Khayal dalam impian dan angan-angan. Semuanya tercurah dalam catatannya.
#Novel
#Astro Prima
#Shahz Jaszle
#Iqram Dinzly
#Tiara
#Nelissa Nizam
#Cinta Hilang Kata
#Sophia Albarakbah