Viral
"Cinta Tak Punya Apa-Apa Beza Dari Segi Keturunan" - Saat Menyentuh Hati Pertemuan Pak Nil & Pengetua Sekolah
Hasrat yang dipendam pengacara popular Datuk Aznil Nawawi untuk bertemu semula dengan pengetua sekolahnya akhirnya menjadi kenyataan apabila kedua-dua mereka dipertemukan baru-baru ini.
Berkongsi detik pertemuan semula itu, Pak Nil gagal menahan emosi hingga akhirnya menitiskan air mata sambil memeluk pengetua sekolah menengahnya itu.
Dalam video yang dimuat naik di Instagramnya, Pak Nil ketika itu dikejutkan dengan kehadiran pengetua sekolahnya yang berbangsa India ketika sedang memberikan ceramah motivasi di sebuah sekolah.
Pak Nil menyifatkan pertemuan itu satu keajaiban sepertimana munculnya tarikh 29 Februari setiap empat tahun.
"29 Februari berlaku 4 tahun sekali, dan setiap kali itu peristiwa ini pasti akan jadi kenangan! Tkasih Kementerian Pendidikan atas kejutan ini!" tulisnya.
Sebelum ini, Pak Nil menyatakan hasrat untuk bertemu semula dengan pengetua sekolahnya itu apabila terlihat kelibat pengetuanya bernama V Chakaravathy menerusi sebuah program televisyen.
Pak Nil mengimbas semula kenangannya bersama pengetua itu ketika bersekolah di tingkatan lima di Jalan Temerloh sebelum berpindah ke sebuah sekolah menengah di Setapak ketika di tingkatan enam.
"Hari ini Kau temukan dengan seseorang yang bertanggungjawab pada siapa saya sekarang. Di sini saya bersama ayah guru dan ikon saya.
"Cinta tidak mempunyai apa-apa beza dari segi keturunan, seorang ayah berketurunan India memeluk anak berketurunan Melayu," ucap Pak Nil sebak.