Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

'Cinta Terbahagi Dua' Kisah Hidup Azharina, Menangis Ketika Proses Rakaman

Fiza Kamarudin 08/12/2017 | 00:30 MYT
Juara musim ketiga Gegar Vaganza (GV), Azharina Azhar mengakui single terbaharunya berjudul Cinta Terbahagi Dua adalah adaptasi daripada kisah hidupnya.
Malah Azharina mengakui dia turut mengalirkan air mata ketika merakamkan lagu ciptaan komposer popular, Julfekar itu.
“Ya, saya sebak sebaik sahaja membaca lirik lagu ini. Apatah lagi ia terlalu dekat dengan kisah hidup saya, tetapi biarlah cerita tersebut menjadi memori buat diri saya.
“Saya sendiri tidak sangka akan mengalirkan air mata ketika menyanyikan lagu Cinta Terbahagi Kedua, sehinggakan ketika rakaman berlangsung Julfekar bertanya kepada saya samada mahu teruskan rakaman atau tidak.
“Sebagai penyanyi saya perlu profesional ketika bekerja, emosi harus diketepikan dan akhirnya lagu tersebut selesai dirakam dalam masa 30 minit,” katanya kepada Astro Gempak.
Azharina berkata, Cinta Terbahagi Dua merupakan salah satu lagu yang akan dimuatkan di dalam album studionya yang ketiga.
“Sebenarnya selain lagu ini ada empat buah lagu lagi yang telah siap dirakam ciptaan Julfekar, iaitu Kesetiaanku, Tetap Kan Abadi, Jemput Kenangan dan Kasih Abadi.
“Sejujurnya saya gembira dan teruja untuk perdengarkan lagu-lagu terbaharu saya kepada peminat. Maklumlah saya pun sudah tidak menerbitkan album...Selepas album Nina saya hanya muncul dengan beberapa buah single sahaja.
“Jadi saya berasakan ini adalah masa yang sesuai untuk memberikan hadiah istimewa ini kepada peminat,” katanya ketika ditemui pada majlis pradengar kelima-lima buah lagu barunya nya di kediaman Julfekar di Sungei Besi, baru-baru ini.
Tambah penyanyi yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu, album ketiganya itu mengambil masa selama hampir setahun sebelum lima buah lagu yang bakal dimuatkan dalam album tersebut siap dirakam.
“Album ketiga saya dijangka diterbitkan pada Januari atau Februari depan dan saya berharap peminat dapat menerimanya dengan baik,” katanya yang baru selesai merakamkan video lirik untuk single Cinta Terbahagi dua, pada Rabu lalu.
#Penyanyi #GV3 #Azharina #Penyanyi
;