UNDI TOP 5 GEMPAK MOST WANTED AWARDS SEKARANG!
Hiburan

Cipta ‘Memori Berkasih’ Atas Pentas Lautan, Tomok & Siti Nordiana Berjaya Hiburkan 600 Peminat Menerusi Live Music @ Sea

Asyikin Mayudin 24/01/2025 | 03:55 MYT
Penyanyi Tomok dan Siti Nordiana tidak menyangka dapat membuat persembahan eksklusif di atas kapal persiaran mewah, Genting Dream dan menghiburkan lebih 600 peminat menerusi Live Music @ Sea.

Sepanjang hampir dua jam persembahan yang berlangsung di Zodiac Theater, jelas terpancar kegembiraan di wajah Siti Nordiana dan Tomok dapat menghiburkan peminat mereka sekali gus mencipta rekod peribadi dalam kerjaya seni masing-masing apabila pertama kali menyanyi di atas pentas lautan.

Persembahan yang disifatkan sebagai ‘pemanas badan’ sebelum menjelang konsert Tomok & Siti Nordiana, Memori Mungkin Berulang pada 1 Februari depan, dua penyanyi hebat itu telah menyampaikan sebanyak 15 buah lagu secara keseluruhan.

Antara untaian lagu yang disampaikan Siti Nordiana adalah Benang Emas, Cinta Hanya Sandaran, Angkara, Hatiku Milikmu dan Terus Mencintai. Malah, penyanyi berusia 41 tahun itu turut mendendangkan lagu Inggeris nyanyian asal Britney Spears berjudul Baby One More Time.

Manakala, Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail mendendangkan lagu-lagu popularnya termasuklah Sejarah Mungkin Berulang, Meraung dan Hanya Tinggal Sejarah. Tidak ketinggalan, vokalis kumpulan Newboyz itu sempat menggamatkan pentas dengan medley lagu C.I.N.TA dan Bahalol (XPDC).

Bersyukur dengan sambutan diberikan peminat, Tomok berkata, dia tidak akan melupakan pengalaman manis dapat membuat persembahan secara langsung di atas kapal persiaran mewah tersebut.

"Sejujurnya, saya tak jangka persembahan ini jadi besar tapi tengok menghampiri full house juga. Tenaga daripada audiens buat saya terkejut. Alhamdulillah, kita dapat respons yang baik daripada mereka yang hadir.

"Pengalaman pertama buat persembahan atas kapal persiaran yang besar di depan ramai orang yang hadir membuatkan saya betul-betul gembira,” katanya.

Sementara itu, Siti Nordiana atau mesra disapa Nana berkata, berpeluang mengadakan persembahan di atas kapal mewah Genting Dream bagaikan impian yang akhirnya menjadi satu kenyataan.

"Saya pernah naik kapal ini tetapi sebagai penonton di Zodiac Theater tapi kali ini berbeza sebab dapat buat persembahan. Macam impian jadi kenyataan sebab dapat ‘perform’ di tengah lautan.

"Macam sesuatu yang ‘rare’ (tak pernah dibuat) sebelum ini. Saya sendiri tak sangka sambutan daripada peminat sangat menggalakkan.

"Pada mulanya agak risau juga sebab yang datang daripada pelbagai bangsa. Tapi alhamdulillah, mereka ‘faham’ lagu-lagu leman saya dan Tomok,” ujarnya.

Selain lagu hits solo masing-masing, Tomok dan Nana juga buat pertama kali menyampaikan lagu nostalgia yang menjadi kegilaan peminat iaitu Memori Berkasih (duet asal Nana bersama Allahyarham Achik Spin) selain mendendangkan lagu terbaharu mereka, Memori Mungkin Berulang.

Selain menyaksikan persembahan istimewa berkenaan, peminat juga menikmati pengalaman percutian yang menggabungkan pelayaran dua malam bermula di Singapura menuju Melaka dan kemudian kembali ke Singapura pada 19 hingga 21 Januari lalu di atas kapal persiaran mewah, Genting Dream.

#Tomok #Siti Nordiana #Nana #Konsert Tomok Nana
;