Hiburan
Cipta Nama Di Luar Negara, Nasihat Siti Nurhaliza Buat Pelapis Baharu - “Selalu Juga Cabar Diri Dengan Cara Nyanyian Yang..”
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza akui pelapis-pelapis baharu dalam industri sudah mula mencari peluang untuk menebus pasaran muzik di negara-negara jiran.
Menurut pelantun lagu Aku Cinta Padamu itu, sekiranya mempunyai rezeki untuk melebarkan sayap ke negara luar mereka tidak seharusnya mensia-siakan peluang tersebut.
“Jaga nama baik, terus berikan persembahan yang terbaik sebab bila dapat peluang mencipta nama di luar negara itu adalah peluang yang sangat-sangat berharga jangan kita sia-siakan.
“Saya tak nafikan ada rakan-rakan artis yang muda dah mula mengukir nama di Indonesia seperti Ernie Zakri. Itu satu pencapaian yang sangat bagus.
“Indonesia kalau dah menyanyangi kita, buatlah apa sahaja anda akan disukai yang mana saya sudah melalui pengalaman itu,” katanya kepada Gempak.
Pemilik nama Siti Nurhaliza Tarudin ini juga menyeru penyanyi pada masa kini harus berani untuk meneroka pelbagai jenis genre lagu bagi menunjukkan kebolehan mereka.
Pada masa sama, Siti juga menasihatkan kepada mereka yang mahu mencipta nama diluar negara untuk mengadakan kolaborasi lagu tidak kira bersama komposer mahupun penyanyi.
Penyanyi nombor satu negara itu juga mengingatkan kepada pelapis-pelapis baharu untuk berani mencuba genre dan teknik nyanyian yang berbeza agar lebih banyak peluang yang akan datang kepada mereka.
“Kolaborasi ini memang bagus, dengan dia punya komposer, penyanyi sebab kita akan dapat mengumpul peminat dari negara luar, dan sertai festival muzik.
“Selalu juga cabar diri dengan cara nyanyian yang berbeza, muzik yang berbeza supaya kita boleh explore kebolehan kita.
“Jangan fikir kita boleh satu genre sahaja sebab muzik itu sangat luas sebab kalau kita boleh bawa pelbagai jenis genre muzik tawaran itu akan terbuka luas,” ujar Siti.