Laman Utama
CL Tertekan Diminta Lakukan Pembedahan Plastik Kerana 'Tak Cukup Cantik'
Dunia seni Korea Selatan memang tidak asing dengan para selebriti mereka menjalani pembedahan plastik.
Penampilan sempurna selalu menjadi keutamaan, terutama buat bintang drama atau filem dan K Pop.
Tekanan untuk sentiasa tampil cantik dan sempurna turut dirasai oleh salah seorang bekas anggota 2NE1 iaitu CL.
Dalam satu temu bual bersama Allure, CL mengaku selalu dinasihatkan untuk melakukan pembedahan plastik kerana wajahnya dianggap tidak mencapai piawaian atau tidak cukup cantik.
"Saya tak tahu nak sedih atau marah. Tapi saya memang bengang dan mempersoalkan siapa mereka semua untuk memberitahu seperti apa wajah saya patut kelihatan?" katanya seperti dilaporkan NME.
CL kemudian menjelaskan tekanan membuat pembedahan plastik pada wajahnya datang sewaktu awal kariernya.
"Waktu itu ramai yang melakukan pembedahan pada kelopak mata. Ia seperti satu trend pada waktu itu," sambungnya.
Menolak melakukan pembedahan plastik, CL mengatakan dia memilih alternafif lain untuk memastikan penampilannya cantik.
Kata CL, dia memilih teknik solekan untuk memanipulasi khalayak terhadap penampilannya tanpa mengubah wajah asal.
Meski demikian, perempuan yang kini berusia 30 tahun itu menegaskan dirinya tidak menilai individu yang melakukan pembedahan plastik.
"Jika anda mahu membuat pembedahan plastik atau melakukan rejim senaman atau menampal solekan yang tebal dalam setiap penampilan, itu adalah hak masing masing.
"Untuk saya, saya selalu ingatkan agar tidak mengubah apapun tentang diri sendiri," katanya.
Menerusi temubual yang sama, CL juga berkongsi mengenai material terbaharunya, +ALPHA+ yang merupakan album perdana semenjak dia meninggalkan 2NE1.
Tanpa menyatakan tarikh album tersebut akan dipasarkan, CL mengatakan +ALPHA+ adalah simbolik terhadap dirinya yang kini bergerak solo.