Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Cliff Umar Didenda RM5,500 Kerana Miliki, Ambil Dadah

Gempak 31/07/2024 | 06:27 MYT
Penyanyi, Cliff Umar didenda sebanyak RM5,500 oleh Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memiliki dan memberi dadah kepada dirinya sendiri pada Mei lalu.

Pengakuan bersalah

Majistret Sasha Diana Sabtu membuat keputusan itu selepas Cliff Umar atau nama sebenarnya, Abdullah Umar Joseph, 42, membuat pengakuan bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada empat anak itu menjalani hukuman tambahan penjara selama 13 bulan sekiranya gagal bayar denda terbabit.
Cliff yang juga bekas vokalis Project Pistol itu juga dikenakan tempoh pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Didakwa miliki dadah jenis heroin dan monoacetylymorphine

Berdasarkan pertuduhan pindaan, Cliff didakwa memiliki dadah jenis heroin dan monoacetylymorphine seberat 0.9 gram di tepi Jalan Persiaran Kewajipan, Subang Jaya, pada 3.30 petang 26 Mei lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya.
Dia juga dituduh dengan sengaja memberikan diri sendiri dadah berbahaya jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid (thc) di tandas Balai Polis USJ8, Subang Jaya pada 6 petang pada tarikh sama.

Mohon hukuman denda minima

Peguam Sallehuddin Salam yang mewakili Cliff Umar dalam rayuannya memohon hukuman denda minima dikenakan susulan anak guamnya menanggung isteri dan empat anaknya.

"Anak guam saya juga mempunyai masalah kewangan dan tiada pendapatan tetap dengan bergantung sebagai kerjayanya sebagai pemuzik," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran memohon hukuman berbentuk deterrent (pencegahan) ekoran kekerapan kes dan membabitkan kepentingan awam.
Sumber: Harian Metro

#Dadah #Mahkamah #Denda #Cliff Umar
;