BERITA
COVID-19: 489 Kes, Ini 4 Zon Merah PKPB Di Sabah & Selangor
Kes baharu jangkitan Covid-19 hari ini menurun ke 489 berbanding semalam dengan 691 kes.
Namun negeri Sabah kembali mencatatkan peningkatan dengan pertambahan sebanyak 282 kes.
Bagi tempoh sama juga, Kedah menjadi negeri kedua tertinggi dengan pertambahan sebanyak 153 kes menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negeri itu sebanyak 1,600.
Bagaimanapun tiada kes kematian dilaporkan hari ini.
Pun begitu, kerajaan setuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sandakan, Papar dan Tuaran di Sabah serta Klang, Selangor bermula 9 Oktober 2020.
Empat kawasan tersebut merupakan kawasan yang baharu diklasifikasikan sebagai zon merah di Sabah dan Selangor kerana mempunyai lebih 40 kes positif COVID-19.
Sementara itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) akan menyenaraikan jenis perkhidmatan perlu yang terlibat di kawasan tersebut.

Antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan:
• Hanya 2 orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan untuk keluar bagi tujuan mendapatkan bekalan makanan/keperluan rumah.
• Perniagaan Bukan Perkhidmatan Perlu (Non Essential Service) hendaklah ditutup.
• Restoran, kedai makan, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara 6 hingga 6 petang.
• Pembelian makanan hanya menggunakan kaedah pandu lalu,
penghantaran (delivery) dan take-away sahaja.
• Waktu operasi stesen minyak antara 6 pagi hingga 6 petang sahaja.
• Operasi pasar harian adalah antara hingga 6 pagi hingga 2 petang sahaja.
• Operasi pasar malam, tamu, pasar borong, dan pasar tani adalah tidak dibenarkan.
• Waktu operasi klinik dan hospital kerajaan dan swasta dibenarkan secara 24 jam.
• Farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan beroperasi mulai 6 pagi hingga 6 petang sahaja.
• Kenderaan yang membawa barangan keperluan (essential) dibenarkan keluar masuk dengan mendapatkan kebenaran PDRM terlebih dahulu.
• Perkhidmatan teksi/e-hailing (maksimum 2 penumpang) dan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 8 malam sahaja.
• Perkhidmatan bas ekspres dan bas henti-henti tidak dibenarkan beroperasi.
• Bagi kes kecemasan adalah dibenarkan tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada pihak berkuasa.
• Penduduk yang bekerja tidak dibenarkan keluar dari kawasan dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPB.
• Majikan hendaklah mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja bercuti atau bekerja dari rumah.
• Kebenaran untuk bekerja hanya bagi Perkhidmatan Perlu (essential service) dengan kelulusan PDRM.
• Masjid, Surau, rumah ibadat bukan islam, Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, Institut Latihan Kemahiran, Sekolah, Tadika, Taska, Pusat Tahfiz, Pusat Jagaan Kanak – Kanak adalah ditutup.
• Semua Aktiviti Sukan, Rekreasi, sosial, dan budaya adalah tidak dibenarkan.
Bagi memastikan pematuhan perintah itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat.
Kredit Foto: Astro Awani