Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Cristiano Ronaldo Tak Benarkan Anaknya Berusia 11 Tahun Memiliki Telefon Bimbit - “Jangan Terlalu Obses..”

Azwa Rahman 30/01/2022 | 08:11 MYT
Pemain bola sepak handalan dunia, Cristiano Ronaldo tidak membenarkan anaknya memiliki telefon bimbit meskipun cahaya matanya itu sudah berusia 11 tahun.
Alasan pemain Manchester United itu tidak menyediakan telefon bimbit buat Cristiano Jr adalah kerana enggan anaknya obses dan sentiasa ‘melekat’ dengan teknologi itu seperti mana generasi sebayanya.
“Anak sulung saya akan berusia 12 tahun dan dia sering bertanya saya adakah dia boleh memiliki telefon bimbit.
“Saya katakan kepadanya, ‘Cristiano, kamu ada masa (menggunakan telefon bimbit.’
“Saya tahu generasi hari ini selangkah lebih maju daripada usia mereka dan saya bersetuju bahawa kita harus memanfaatkannya tetapi jangan begitu obses dengan teknologi.
“Boleh benarkan mereka menggunakan telefon bimbit, tetapi ada masanya harus terbatas, bukan sepanjang masa. Saya fikir, itu maksud utamanya,” kata Ronaldo semasa menghadiri World Expo 2020 di Dubai seperti dilaporkan portal The Sun.
Kajian yang dibuat di United Kingdom mendapati kebanyakan kanak-kanak memiliki telefon bimbit sendiri ketika usia mereka mencecah tujuh tahun manakala sembilan daripada 10 kanak-kanak memiliki gajet sendiri pada umur 11 tahun.
Ditanya apakah teknologi membantu kerjayanya sebagai bintang bola sepak masyhur, Ronaldo berkata: “Tentu sekali banyak membantu.”
“Teknologi membantu saya dan membantu semua orang di sini, di seluruh dunia dan saya fikir kita harus ambil manfaat (daripada perkembangan teknologi) tetapi jangan terlalu obses dengannya.
Cristiano Jr akan menyambut hari lahir ke 12 pada Jun depan dia merupakan anak sulung Ronaldo dengan pasangannya Georgina Rodriguez yang kini sedang hamil anak kembar.
Ronaldo juga mempunyai tiga orang cahaya mata lain.
#Cristiano Ronaldo #Telefon Bimbit #Cristiano Jr
;