VIRAL
Cubaan Rompak Dipatahkan Dalam Masa Dua Minit, Pegawai Bank Tergelak Tengok Senjata Rompakan
Seorang lelaki mencetuskan rasa cemas orang ramai apabila cuba merompak sebuah bank di Busan, Korea.
Namun apa yang orang ramai tidak tahu pada ketika itu adalah dia menggunakan pistol air berbentuk dinosaur yang dibungkus dalam plastik untuk menyerupai senjata api.
Menurut laporan Korea Times, lelaki berusia lingkugan 30-an itu memasuki bank pada jam 10.58 pagi dengan memakai topeng dan topi kait bagi menutup wajahnya.
Sebaik memasuki premis, dia menjerit sambil menghalang pintu masuk dan cuba masuk ke pejabat pengurus bank.
Ketika kejadian, pelanggan yang berada di dalam bank menjerit ketakutan. Lelaki itu mengarahkan semua pelanggan di koridor untuk masuk ke dalam bank sebelum menjerit, “Berlutut!” sambil mengacukan objek yang diselubungi plastik.
Namun, pengurus bank yang ketika itu berada di dalam pejabat bersama seorang pelanggan bertindak pantas dengan menahan pintu, menekan butang kecemasan, dan menghubungi polis.
Selepas cubaanya gagal, dia beralih ke kaunter juruwang dan mengarahkan pekerja bank yang bertugas untuk mengisi begnya dengan wang kertas yang bernilai KRW 50,000 (RM176 setiap keping).
Dalam keadaan tegang itu, seorang pelanggan lelaki berusia 50-an secara tiba-tiba menerkam suspek dari belakang dan menangkap lengannya.
Berlaku sedikit pergelutan namun pegawai keselamatan serta beberapa kakitangan bank segera membantu untuk menundukkan suspek.
Hanya dalam masa dua minit selepas memasuki bank, cubaan rompakan itu berjaya digagalkan.
Selepas suspek berjaya ditangkap, pihak keselamatan mengambil plastik yang digenggamnya dan mendapati ia hanya mengandungi pistol air mainan berbentuk dinosaur.
Seorang pegawai bank berkata meskipun situasi itu kelihatan lucu mereka masih memandang insiden itu sebagai satu insiden yang serius kerana melibatkan keselamatan pekerja dan pelanggan mereka.

Sumber: Must Share News
Must-Watch Video