Laman Utama
Da Unknown Dikecam 'Berkiblatkan' BTS, Dituduh Perosak Industri! - "Ada Juga Kata Kami Kumpulan Baru Akil Baligh"
Kumpulan baharu yang semakin meningkat naik, Da Uknown, mengakui terasa hati dengan kecaman netizen yang melabelkan mereka dengan hal tidak wajar sejak menceburkan diri dalam bidang muzik.
Terkenal dengan lagu Jangan Marah (Baby Sayang), kumpulan yang dianggotai oleh Momo, Mary Haf, Izmeer, Ameer dan Zaq ini bagaimanapun tidak melatah dan enggan mengambil pusing akan kejian netizen.
"Ada orang cakap kami kumpulan baru akil baligh. Paling teruk, ada yang cakap kami perosak industri dan 'berkiblatkan' BTS memandangkan kami menampilkan lima jejaka sebagai ahli kumpulan.
"Kami akui kami terasa, siapa tak terasa kan bila dikritik sebegitu? Kami dah berusaha dan keluarkan lagu-lagu yang terbaik, tetapi orang beri kritikan yang menjatuhkan, ibarat usaha kami sia-sia.
"Mengenai BTS, kami tak tiru langsung pun. Kami mempunyai identiti sendiri. Semua kritikan netizen tidak kami jawab, kami hanya membiarkan sahaja.
"Kami akan cuba memperbaiki diri kami dan memberi kualiti kerja yang lebih baik di masa akan datang," kata Momo mewakili kumpulan ini.
Dalam pada itu, Da Uknown turut mengakui lagu Jangan Marah (Baby Sayang) lebih dikenali berbanding diri mereka sejak ia mula ditularkan di TikTok.
"Lagu terbabit viral di TikTok dan digunakan oleh ramai netizen. Alhamdulillah, kami anggap itu satu permulaan yang baik biarpun orang tidak mengenali kami lagi.
"Kami jadikan ia sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha kuat. Kini kami tampil dengan lagu Tersakiti dan mendapat respons baik.
"Kami juga menghadiri pelbagai kelas seperti kelas tarian, kelas vokal dan belajar cara bagaimana untuk berkomunikasi dengan orang ramai untuk memantapkan lagi kumpulan kami," kata Haf pula.
Da Unknown ditemui di majlis berbuka puasa Ace Talents bersama anak-anak yatim dan perlancaran lagu OoTD Raya di Grand Barakah Hotel, Ampang pada Jumaat.
Selain Da Unknown, majlis terbabit turut dimeriahkan dengan kehadiran Ruffedge, Chubb- E, Unknown, Moleque dan Azuein Alonto selaku Pengarah Urusan Ace Talents.
Yakin lagu OoTD Raya bakal mendapat tempat, single nyanyian Moleque, Da Unknown, Zarol Zarif, Aliff idham dan Al Farabi ini mempunyai keunikan tersendiri.
Lagu OoTD Raya merupakan ciptaan Cat Farish bersama barisan pengarah Ace Talent ini adalah bukti kemampuan mereka dalam memberikan produk seni yang berkualiti.
"Memang setiap tahun akan ada lagu raya baharu yang dikeluarkan ramai penyanyi. Cumanya kami tidak melihat lagu OoTD Raya ini sebagai saingan mana-mana lagu raya lain.
"Di Ace Talent kami sentiasa mahu wujudkan kelainan. Menerapkan konsep yang sama untuk lagu ini menjadi harapan kami agar lagu ‘OoTD Raya’ ini mendapat tempat di hati pendengar," jelas Azuein.