Hiburan
Dafi Dedah Punca Tak Ada Dalam Gambar Keluarga, ‘Tutup Mulut’ Mengenai Dakwaan Kakak Bakal Nikah - “Nak Buat Macam Mana, Saya Ada…”
Ketiadaan penyanyi dan pelakon Dafi dalam foto kakaknya yang juga personaliti Nina Ismail Sabri bersama keluarga mengundang pelbagai reaksi netizen yang ingin tahu keberadaannya.
Kerja Yang Tak Boleh Elak
Dafi ketika dihubungi Gempak memaklumkan, dia tiada dalam foto berkenaan disebabkan mempunyai urusan kerja yang tidak dapat dielakkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Perkongsian IG Dihujani Tahniah, Nina Ismail Sabri Bakal Dirikan Rumah Tangga?
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki Kacak Disamping Nina Ismail Sabri Curi Perhatian, Ramai Rakan Ucap Tahniah
ARTIKEL BERKAITAN: Jovian Mandagie, Nina Ismail Sabri Umum Bercerai - “Kami Percaya Itu Adalah Yang Terbaik”
Biarpun tidak berada bersama keluarganya ketika itu, pelakon filem Malbatt ini tetap mendoakan segala urusan kakaknya itu berjalan dengan lancar.
“Sebenarnya masa waktu itu, saya ada kerja yang tak dapat dielakkan. Sebab itu saya tak ada sekali dalam gambar itu. Kalau tengok dekat ruangan komen, kakak saya pun ada beritahu yang saya kerja.
“Ikutkan saya pun nak berada bersama keluarga waktu itu. Tapi nak buat macam mana, ada kerja yang saya tak dapat nak elak. Walaupun saya tak ada, tapi tetap mendoakan urusan kakak dipermudah,” katanya kepada Gempak.
Tanya Nina Sendiri
Ketika ditanya mengenai perkongsian foto Nina bersama keluarga dan seorang jejaka yang hanya dikenali sebagai Hafiz, Dafi bagaimanapun memilih untuk menutup mulutnya.
“Untuk pertanyaan itu, saya tak boleh nak komen… sebab saya rasa kakak lebih layak untuk kongsikan mengenai dirinya. Takut kang saya ada salah cakap atau salah informasi pula,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Perkongsian di Instagram bekas isteri kepada pereka fesyen, Datuk Jovian Mandagie itu sekali lagi mendapat tumpuan ramai selepas dirinya memuat naik gambar bersama keluarga dan seorang jejaka yang hanya dikenali sebagai Hafiz.
Biarpun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai foto tersebut, ruang komen dipenuhi dengan ucapan tahniah daripada netizen dan rakan-rakan Nina.
Sekadar info, sebelum ini Nina pernah memuat naik bersama Hafiz yang membuatkan ramai pihak mendakwa bahawa mereka sedang bercinta.
Imbas kembali, Jovian dan Nina pernah mendirikan rumah tangga pada 11 Disember 2013, namun berpisah cara baik pada Ogos tahun lalu.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Jeanelle Nika Mandagie yang kini berusia enam tahun.