Hiburan
"Dah Ada Memang Nak Bagi" - Datuk M. Nasir Buat Lagu Untuk BBNU?
Penyanyi popular Datuk M. Nasir bersedia untuk berkolaborasi dengan penyanyi baharu atau dalam istilah lain Budak-Budak Baru Nak Up (BBNU).
Kata M. Nasir, dia masih merahsiakan projek terbabit namun sudah punyai senarai penyanyi yang ingin berkerjasama.
"Saya pilih penyanyi itu apabila saya rasa sesuai, suka dan boleh bekerja dengan mereka.
"Pada masa sekarang, penyanyi itu memainkan peranan penting, orang minat dengan penyanyi, lagu itu akan berjalan seiring.
"Tambah-tambah pula penyanyi bersuara sedap, relevan dan baru. Orang akan suka.
"Memang ada penyanyi baharu meminta lagu daripada saya dan ada beberapa rakaman masih dalam proses. Sudah ada beberapa buah lagu memang nak bagi, tak payah tanya pun," katanya kepada Gempak.
M. Nasir ditemui pada sidang akhbar pelancaran konsert Picnic@PD di Restoran Rebung Chef Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam perkembangan sama, M. Nasir bakal menghiburkan pengunjung sempena konsert di Port Dickson itu dengan rangkaian lagu malar segar antaranya Apokalips, Raikan Cinta dan Samrah Mentari.
Picnic@PD merupakan karnival dua hari bermula hari ini dan esok yang menampilkan pelbagai acara meriah dan barisan artis hebat lain antaranya Datuk Hattan, Datuk Awie, Wany Hasrita, Iwan Dangdut, Shamsul Ghau-Ghau, Zul Handyblack, Gerhana Ska Cinta dan ramai lagi.