Dah Macam RoboCop! Helmet Pengimbas Suhu KTMB Ini Dapat Pujian Ramai!
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengambil inisiatif terbaru dalam memerangi pandemik COVID-19 dengan memperkenalkan helmet pengimbas suhu.
Perkara itu dikongsi KTMB menerusi satu posting terbaru di Facebook rasmi mereka hari ini.
“KTMB baru-baru ini melangkah satu tapak ke hadapan dengan memperkenalkan helmet pengimbas suhu bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
“Kaedah ini adalah tambahan keadah sedia ada seperti pengimbas suhu di stesen, hand sanitizer dan sanitasi tren,” kata pengendali akaun tersebut.
Jelas KTMB lagi, dengan penggunaan helmet ini, anggota Polis Bantuan (PB) yang membuat rondaan akan dapat mengesan penumpang bergejala melalui alat teknologi canggih itu.
“Diharap dengan kaedah-kaedah yang dilaksanakan itu akan dapat meningkatkan keyakinan para penumpang untuk menggunakan perkhidmatan KTMB.
“Penggunaan helmet ini masih di peringkat percubaan bagi menilai keberkesan dan kesesuaian kepada anggota PB,” katanya.
Sementara itu, menerusi ruang komen, rata-ratanya terkejut dan kagum apabila gaya penggunaan helmet berkenaan kerana ia kelihataan seperti di dalam fillem adiwira.
Ada yang menyamakan penampilan anggota bertugas seperti watak dalam filem Star Wars dan tidak kurang mengangap ia seperti Predator dan RoboCop.
Namun, biar apa jua gelaran, kebanyakan netizen mengucapkan tahniah atas usaha dan inisiatif terbaharu KTMB ini.