Laman Utama

Dakwaan Nyaris Disuntik Vaksin Kosong Hanya Salah Faham

Asraf Aided
20/07/2021
10:47 MYT
Sponsor Banner
Dakwaan Nyaris Disuntik Vaksin Kosong Hanya Salah Faham
Dakwaan seorang individu menerima suntikan picagari kosong di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Bangi Avenue Convention Centre (BACC) yang tular di Twitter baru-baru ini adalah tidak benar.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif yang bertugas di PPV berkenaan telah membuat penafian insiden tersebut sekitar jam 2.50 petang Isnin.
"Laporan telah dibuat susulan ciapan di laman Twitter oleh seorang individu lelaki (penerima vaksin) yang mendakwa dia nyaris disuntik dengan vaksin kosong ketika mahu mendapatkan suntikan vaksin di PPV tersebut pada Sabtu.
"Polis mendapati petugas di PPV itu telah berhubung dan menjelaskan tentang prosedur pengambilan vaksin kepada individu tersebut dan dia telah berpuas hati," katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Beliau menambah, dakwaan individu itu merupakan satu salah faham apabila dia menyangka telah disuntik dengan picagari kosong, namun sebenarnya telah disuntik dengan vaksin jenis Sinovac.
"Setakat ini, tiada sebarang laporan polis dibuat oleh individu berkenaan atau mana-mana individu berhubung dakwaan hampir ditipu ketika menerima suntikan vaksin di PPV itu.
"Laporan polis hanya dibuat oleh pihak BACC bagi menafikan serta memberi penjelasan bahawa kejadian suntikan vaksin kosong adalah tidak berlaku," katanya lagi.
Difahamkan, hasil siasatan juga mendapati bahawa ciapan di ruangan komen Twitter tersebut dibuat oleh teman wanita penerima vaksin sehingga menjadi tular dan mendapat respon negatif daripada warganet.
Sumber: Kosmo (K! ONLINE)
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024