Laman Utama
“Dapat Tahu Hamil Baby Kedua Masa Positif COVID-19” - Jihan Muse
Pelawak dan pengacara Jihan Muse akhirnya mendedahkan dirinya kini hamil enam bulan.
Menurut Jihan, sewaktu hamilkan anak kedua dia telah diduga dengan dengan COVID-19.
“Saya dapat tahu hamil anak kedua masa melakukan ujian saringan COVID-19 untuk bertugas sebagai pengacara AME2021 Januari lalu.
“Masa itu saya dapat tahu dua benda positif, pertama COVID dan yang kedua adalah mengandung.
“Disebabkan itu saya dimasukkan ke hospital Sungai Buloh untuk memantau anak di dalam kandungan.
“Alhamdulillah saya tidak mengalami gejala yang teruk cuma batuk sahaja dan saya juga bersyukur kerana dikurniakan anak kedua,” katanya kepada Gempak.
Jihan ditemui pada sidang media Anugerah MeleTOP Era (AME2021) yang berlangsung pada Ahad.
Jihan juga menjelaskan dia mempunyai sebab tidak berkongsi tentang kehamilannya kepada umum.
“Saya segan sebenarnya, lagipun saya ambil nasihat daripada keluarga saya supaya tidak umumkan terlalu awal.
“Bukan apa sebab kita tidak pasti apa yang akan berlaku di awal kehamilan, sebagai contoh kena COVID.
“Tapi sekarang semuanya dah okay, doakan proses bersalin saya dipermudahkan,” ujarnya.
Terdahulu, Jihan dinobatkan sebagai pemenang Personaliti TV MeleTOP di AME2021.