Laman Utama
Dari Kuala Lumpur Ke Jepun, Gabungan SonaOne & Shurkn Pap Dalam Homies Mantap!
Penyanyi dan komposer SonaOne berbesar hati apabila penyanyi rap Jepun Shurkn Pap sudi bergabung dalam lagu terbaharu, berjudul Homies.
Lagu bertemakan irama hip hop dan R&B West Coast dari era awal 2000-an itu diketuai penerbit Jepun dubby bunny.
Menariknya lagi, lagu yang santai dan menghiburkan, itu turut dibawa Shurkn Pap ke kampung halamannya di Himeji, Jepun.
“Homies adalah sebuah lagu yang menarik untuk didengar. Memang sangat sesuai untuk pendengar yang mahu berhibur, santai dan menghabiskan masa dengan kawan-kawan tak kira di mana jua anda berada samada di Kuala Lumpur mahupun di Himeji,” kata SonaOne teruja.
Tambah SonaOne lagi Homies mengisahkan tentang seorang lelaki yang hanya ingin melepak bersama kawan-kawannya tetapi teman wanita mahu turut serta.
“Lagu ini simple, bila boyfriend nak keluar lepak tapi girlfriend pula nak ikut. Jadi saya kembangkan ‘masalah’ ni kepada apa akan jadi kalau girlfriend pun ikut lepak?
“Jadi lagu ini meraikan persahabatan sambil membuktikan teman wanita juga boleh menjadi salah seorang kawan lepak!",” katanya.
Sementara itu Shurk Pap berkata, dia sangat mengagumi SonaOne yang sentiasa mempunyai idea segar dan pantas mengadaptasi perkara yang berlaku di sekeliling untuk dijadikan sebuah karya hebat.
“Lagu ini terilham dari terjemahan hebat SonaOne. Saya hanya menulis aktiviti harian di kampung halaman saya, Meiji dan SonaOne telah adaptasi ke dalam Homies.
“Dalam lagu ini ada rangkap-rangkap yang membawa pendengar ke kampung halaman saya di Meiji, termasuk pengalaman saya menghabiskan masa dengan kawan-kawan sama setiap hari, bercerita tentang angan-angan dan impian kami yang mahu menjadi seperti penulis dan pendidik terkenal Yukichi Fukuzawa.
“Dan impian saya dan kawan-kawan yang mahu adakan parti dan memandu sepanjang hari di kota juga, SonaOne masukkan dalam Homies.
“Saya terharu diberi peluang untuk turut serta dalam karya ini.”
Homies telah dilancarkan pada 11 Mac lalu di semua platfom penstriman digital.
Projek ini merupakan sebahagian dari projek Future Shock hasil kerja bpm plus asia yang berpangkalan di Jepun dan Brooklyn Yas bersama dengan M.A.U Collective, dalam usaha mendekatkan budaya dan warisan merentas Asia.
Dalam projek terdahulu, M.A.U Collective menggabungkan lebih daripada 10 artis seluruh Asia dengan pelbagai latar belakang, serta tenaga yang membawa mereka kepada bpm plus asia bersama harapan untuk menyatukan artis-artis Asia dan menampilkan generasi baharu Future Shock.