Viral
Dari Melaka Ke Makkah, Remaja Lelaki Tunai Umrah Selepas Dua Bulan Ekspedisi Naik Motosikal Kriss 110
Tindakan seorang remaja lelaki dipercayai bertolak ke Makkah untuk menunaikan ibadah umrah dengan hanya menaiki motosikal mendapat perhatian ramai orang.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Aimpro Samudra, pemuda bernama Muhammad Aidil Nursulhi, 19 tahun itu selamat sampai di Tanah Suci dengan menunggang motosikal jenis Modenas Kriss 110.
Menurutnya, ekspedisi itu mengambil masa dua bulan dan Aidil telah memulakan perjalanannya dari Melaka pada 21 Mac 2024 lalu.
Difahamkan, banyak halangan yang perlu ditempuhi olehnya ketika dalam pengembaraan, namun dia tekad untuk meneruskan destinasinya ke Makkah.
Terdahulu, Aidil pernah mengelilingi dunia bersama bapanya, Aimpro Samudra dengan menaiki kereta jenis Perodua Kelisa dan kejayaannya kini sangat membanggakan bapanya.
“Alhamdulillah, abah sendiri pun belum sampai. Syukur, ini semua dengan keizinan daripada Allah dan berkat doa semua,” ujar bapanya.
Rata-rata pengguna media sosial menzahirkan rasa kagum di atas kesungguhan remaja itu.
“Alhamdulillah, tahniah Aidil. Moga Allah rahmati setiap niat dan usaha,” komen Azli.
“Alhamdulillah, tahniah sampai ke Tanah Suci. Perjalanan yang amat jauh dengan pelbagai cabaran akhirnya Allah memakbulkan hajat dan niat sampai ke sini,” komen Azman.
“Berkat doa ibu bapa, Alhamdulillah tahniah. Semoga mendapat umrah yang mabrur,” komen Wahid.