Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Viral

Dari Pejabat Mufti Wilayah, Memburu Pahala 10 Malam Terakhir Ramadan

Fiza Kamarudin 14/05/2020 | 08:47 MYT
Diam tak diam hari ini Ramadan sudah memasuki fasa akhir dan semakin hampir melabuhkan tirainya.
Pada bulan ini, di dalamnya terdapat satu malam yang sangat ditunggu-tunggu iaitu lailatulqadar yang merupakan sebuah malam yang lebih baik dari seribu bulan, adalah satu perbuatan yang dituntut.
Keistimewaan lailatulqadar adalah ia dinamakan sendiri oleh Allah SWT di dalam al-Quran dengan mengkhususkan satu surah dinamakan surah Al-Qadr.
Menerusi portal, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ada menerangkan beberapa amalan untuk dilakukan sepanjang 10 malam terakhir Ramadan.
Tiga ibadah dalam hadis di atas yang baginda Rasulullah S.A.W lakukan pada sepuluh malam terakhir adalah seperti berikut:
Pertama: Mengetatkan ikatan di pinggang baginda
Imam al-Hafiz Ibn Rajab Rahimahullah mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan perbuatan tersebut ada dua pendapat. Pertamanya ia membawa erti baginda bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah.
Maksud yang kedua pula adalah Nabi S.A.W meninggalkan perbuatan bersama dengan isteri pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Ibn Rajab mengatakan pendapat yang paling sahih akan maknanya adalah baginda mengasingkan dirinya dari isteri-isteri baginda. Lihat Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab (Hlm. 332).
Kedua: Menghidupkan malam
Yang dimaksudkan dengan menghidupkan malam ini ada dua kemungkinan:
Menghidupkan keseluruhan malam dengan ibadah.
Menghidupkan majoriti atau kebanyakan malam dengan ibadah.
Ini kerana, menghidupkan separuh malam juga telah dianggap sebagai menghidupkan malam sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ibn Rajab al-Hanbali. Lihat Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab (Hlm. 329).
Ketiga: Membangunkan kaum keluarga untuk beribadah.
Ketika masuknya sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, baginda S.A.W mengejutkan isteri-isteri dan keluarga untuk bangun beribadah. Bahkan ada riwayat yang menunjukkan bahawa baginda mengetuk pintu Fathimah R.anha dan Ali bin Abi Thalib R.anhu lalu berkata:
أَلَا تَقُومَان فَتُصَلِّيَان
Maksudnya: Apakah kamu berdua tidak bangun lalu menunaikan solat ?
Riwayat al-Bukhari (1127)
Kelebihan Beribadah Pada Lailatul Qadr
Di antara kelebihan menghidupkan malam al-Qadr dengan ibadah adalah seperti berikut:
Pertama: Dosa-dosa kecil diampunkan.
Ini adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.anhu beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda:
مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: Sesiapa yang melakukan qiyam pada lailatul qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran berserta keampunan nescaya akan dihapuskan dosa-dosanya yang terdahulu.
Riwayat al-Bukhari (1901)
Yang dimaksudkan dengan qiyam (menghidupkan) di situ adalah dengan menghidupkan malam lailatul qadar dengan ibadah seperti solat tarawih, bacaan al-Quran, berzikir, berdoa, beri’tikaf, membaca al-Quran, bersedekah, dan segala amalan soleh yang lain.
Kedua: Ganjaran amalan melebihi seribu bulan.
Ini adalah berdasarkan firman Allah S.W.T:
لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٞ مِّنۡ أَلۡفِ شَهۡرٖ
Maksudnya: Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.
Surah al-Qadr (3)
Kata al-Imam Ibrahim al-Nakhaie Rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: Beramal pada malam tersebut (lailatul qadr) lebih baik daripada beramal pada seribu tahun. Lihat Lathaif al-Maarif, Ibn Rajab (Hlm. 341).
Semoga informasi ini memberi manfaat dan dapat membantu kita dalam mempertingkatkan ibadah untuk memburu malam Lailatul Qadr.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
#Ramadan #Lailatul Qadar #Pejabat Mufti Wilayah
;