Laman Utama

Dari Seorang Pengatur Kaset, Feros Sayna Kini Jadi Ketua Rocketfuel Entertainment!

Mya Amri
03/09/2021
11:14 MYT
Sponsor Banner
Dari Seorang Pengatur Kaset, Feros Sayna Kini Jadi Ketua Rocketfuel Entertainment!
Dari ketua label kepada ketua Rocketfuel Entertainment, tahniah diucapkan kepada Feros Sayna Andreas atas perlantikan dan menjadi sebahagian strategi pemasaran syarikat dalam usaha meningkatkan perkembangan artis tempatan serta pertumbuhan perniagaan sebagai salah satu pemain utama.
Peranan baharu Feros sebagai Ketua Rocketfuel Entertainment adalah bertanggungjawab dalam menerajui masa depan syarikat yang merangkumi pengurusan label muzik dan kesemua kakitangannya.
Rocketfuel Entertainment menempatkan ramai artis popular Malaysia, dengan lebih dari 300 bakat di bawah naungannya, turut menyediakan perkhidmatan penerbitan dari mula hingga akhir untuk label-label kecil dan artis indie, juga menyediakan penyelesaian komersil dan perniagaan di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Malaysia Holdings Berhad, Encik Henry Tan juga turut mengucapkan tahniah atas perlantikan tersebut.
"Tahniah buat Feros di atas peranan barunya sebagai Ketua Rocketfuel Entertainment, kami berharap dan yakin dapat melihat Rocketfuel Entertainment mencapai tahap yang lebih tinggi di bawah kepemimpinan beliau disamping memperoleh lebih banyak peluang besar,” ujarnya.
Dengan pengalaman selama 28 tahun, Feros juga berjanji akan melakukan yang terbaik untuk meningkatkan prestasi dan juga potensi Rocketfuel Entertaintment.
“Saya akan meneruskan usaha saya dalam memberikan yang terbaik untuk Rocketfuel Entertainment.
“Dengan sokongan daripada CEO Astro Radio & Rocketfuel Entertainment, Encik Kenny Ong, bersama-sama team yang kuat di belakang saya, yang akan sentiasa menambah mutu dan mengembangkan sayap syarikat ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Mula menyertai keluarga besar Rocketfuel Entertainment pada bulan Julai 2018 dan menyandang jawatan sebagai ketua label, ramai penyanyi terkemuka negara di bawah jagaannya telah memperoleh pelbagai anugerah berprestij dan pengiktirafan tinggi.
Antaranya Hael Husaini yang dinobatkan bukan hanya sekali tetapi dua kali sebagai Juara Anugerah Juara Lagu (AJL) pada tahun 2017 untuk Jampi dan 2018 untuk Haram, Ernie Zakri pula bagi kategori Vokal Terbaik pada AJL 2020 untuk Gundah, dan Ara Johari sebagai Naib Juara AJL 2019 untuk Bunga.
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Minat Feros yang mendalam terhadap bidang muzik telah pun bermula seawal tahun 1993, dari hanya seorang pengatur kaset dan CD di Supreme Records, Jaya Shopping Centre kemudian di Salem Power Station, Lot 10.
Feros kemudian maju selangkah lagi dengan terjun ke bidang deejay di beberapa buah kelab terkemuka Malaysia, bidang perhotelan sehinggalah pada satu hari dia memilih untuk menyertai salah satu label terkenal tanah air.
Selain artis terkenal negara, Feros juga mengendalikan artis terkemuka Indonesia antaranya Rossa, Afgan, Bunga Citra Lestari, Ari Lasso, Cakra Khan, Melly Goeslaw, Ungu dan Gamma1.
Kini, Feros juga turut bertanggungjawab menguruskan perjalanan seni pelakon popular Malaysia seperti Zizan Razak, Remy Ishak, Zul Ariffin dan Lisa Surihani.
Pada tahun ini, RocketFuel Entertainment akan memberi tumpuan terhadap memperkenalkan influencer yang baharu, menonjolkan lebih ramai lagi pemain esports atas talian yang terkenal, selain menyediakan perkhidmatan pengagihan dan penerbitan dengan rakan kerjasama, Universal Music Malaysia.
Selain itu, Rocketfuel Entertainment juga akan terus menerus menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi, dan melonjakkan bakat Malaysia bukan sahaja di peringkat negara, bahkan di seluruh Asia Tenggara dan serata dunia.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar