Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Daripada Gaya Suaranya Saya Yakin Itu Dia” - Peminat Terkejut Kefli AF3 Kini Penghantar Makanan?

Izwan Isa 02/12/2021 | 00:50 MYT
Bintang Akademi Fantasia Musim Ketiga, Kefli didakwa kini bekerja sebagai penghantar makanan di sebuah syarikat perkhidmatan seru-pandu.
Hal tersebut dikongsikan oleh seorang pembaca Gempak semalam.
Menurut pembaca itu, dia berasa terkejut apabila nama penghantar makanan Mohamed Zulkefli Mohamed Idir muncul di aplikasi perkhidmatan seru-pandu berkenaan.
“Ketika itu, saya sedang pesan makanan seperti biasa. Kemudian, tertera nama penuh Kefli berserta wajahnya pada ruangan aplikasi. Sebagai penonton setia Akademi Fantasia, tentulah saya terkejut.
“Apabila mahu mengambil pesanan, saya yakin dia adalah Kefli daripada gaya suaranya. Cuma dia ada memberitahu air yang saya pesan tertinggal di kedai.
"Berkali-kali dia minta maaf dan saya katakan tidak mengapa. Dia turut mencadangkan kepada saya supaya membuat report kepada syarikat seru-pandu berkenaan jika tidak berpuas hati. Begitupun saya tidak sampai hati berbuat demikian. Tak mengapalah,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, pembaca berkenaan turut berharap agar Kefli sentiasa dilimpahkan rezeki walaupun dalam apa keadaan sekalipun.
“Semua orang ada struggle masing-masing dan dia masih mencari rezeki yang halal. Saya berharap dia akan kembali ke bidang seni dan meneruskan kariernya sebagai pelakon dan juga penyanyi,” kata pembaca itu lagi.
Menerusi Akademi Fantasia 3, Kefli merupakan antara peserta kegemaran penonton. Bagaimanapun, Kefli tersingkir di minggu kesembilan.
Kemudian, Kefli, 37, membina nama sebagai pelakon dan antara naskhah yang dibintanginya termasuklah Berek dan Impian Laili.
#Rider #Kefli AF3
;