Laman Utama
Datuk Sheila Majid Tentang Dunia Muzik: “Nyanyi Bukan Untuk Show Off, Bukan Ambil Exam, Tapi Untuk Passion”
Untuk duduk semeja dan berbagi cerita dengan sang legenda wanita yang satu ini menimbulkan banyak perasaan; antara gementar dan teruja keduanya tidak boleh disembunyikan.
Apa lagi apabila mula berbicara dengannya. Wanita penuh karismatik ini akan terus membuat sesiapapun kagum, yang bicaranya jelas dan penuh ilmu, meski sesekali ada diselangi gosip, namun Datuk Sheila Majid cepat pulang ke pangkal jalan — berbagi kisah tentang segunung pengalaman dan selautan kehidupan sebagai anak seni.
Tahun ini, kelak pada tanggal 18 Mac 2023, Sheila Majid siap bertemu empat mata dengan peminatnya di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur.
Konsert sulung yang dinamakan Sheila Majid BIG BAND Live in Kuala Lumpur 2023 akan menjadi medium untuk kembali mereka merajut kasih, menyatu cinta.
Sudah bersiap daripada segi mental dan fizikal untuk sebuah lagi persembahan tanpa gimik, pun tidak sesekali mengecewakan, kepada #GThe Untold Story Sheila mengatakan masih punya rasa gementar adalah sesuatu yang bagus buat penghibur sepertinya, namun dalam fasa kariernya kini, sang legenda itu mengaku tidak lagi mempunyai tekanan atau persaingan.
#GThe Untold Story: Konsert mega anda, Sheila Majid BIG BAND Live in Kuala Lumpur 2023 akan berlangsung dalam hitungan hari. Sebuah pertanyaan klise, ada gimik atau suatu kejutan yang bakal dihidangkan kepada peminat?
SHEILA MAJID: Sesiapa yang mengenali Sheila Majid, saya tidak pernah mempunyai gimik. Saya tidak ada kejutan, saya jenis tidak suka buat gimik.
Persembahan saya adalah tentang kualiti, muzik yang bagus, persembahan yang bagus. Saya pemuzik yang serius dan mahu semua orang menikmati serta menghargai muzik dengan serius. Fikirkanlah tentang seni yang mahal menyentuh dengan mesej yang membangun. Muzik misalnya dengan lirik milik seperti Allahyarham Tan Sri P.Ramlee ada banyak mesej dalam lirik. Ini penting kerana yang menjadi pendengar adalah generasi masa kini yang perlu memandang tinggi pekerjaan ini.
#G: Ada kebimbangan untuk konsert pada 18 Mac ini?
SM: Untuk melakukan apapun pekerjaan, mesti ada kebimbangan. Selalu yang diterapkan adalah saya perlu bersedia. Saya telah bersedia sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) menuju konsert ini.
Sebab sebenarnya selepas konsert di Stadium Negara pada 2017 lalu, kami sudah merancang untuk konsert bersama Big Band. Ia hanya terlaksana selepas PKP apabila saya melihat banyak yang memerlukan hiburan dan persembahan artis baik lokal mahupun luar menunjukkan perkembangan yang sihat. Dan kebetulan peminat tanya bila saya mahu lakukan konsert, jadi kita buat.
Buat masa ini lagu-lagu yang dipilih akan digubah semula oleh Pengarah Muzik Mac Chew dan akan dimainkan bersama 23 pemuzik, 7 orang pemuzik band bersama tiga penyanyi latar.
#G: Bagaimana dengan sambutan peminat terhadap konsert ini? Maksudnya jika persembahan sold out, ada kebarangkalian dilanjutkan menjadi malam kedua? Kerana dewasa kini kita melihat banyak konsert dilakukan selama dua malam atas permintaan peminat.
SM: Saya selalu bimbang jika konsert tidak laku, walaupun saya Datuk Sheila Majid. Saya realistik dan tidak over confident. Alhamdulillah tiket hampir sold out. Tapi jika sold out sebelum 18 Mac ini, saya tetap hanya melakukan konsert untuk satu malam, kecuali hari kedua untuk charity atau venue kecil untuk 500 orang, mungkin saya setuju untuk tambah hari.
#G: Untuk seorang legenda seperti anda, masih pergi menonton konsert untuk kutip ilmu?
SM: Ya, saya masih bayar konsert kawan-kawan kecuali jika dijemput. Saya sokong dengan tengok konsert atau beli album. Saya juga masih pergi belajar menyanyi dan ke konsert untuk kutip ilmu. Saya tak ada mentor, tak ada orang beritahu, tapi saya buat homework. Saya bukan tiba-tiba jadi pandai, saya belajar, pergi kelas vokal, pergi konsert penyanyi lain, saya belajar dan kena selalu belajar. Pergi selalu belajar dan anda akan sedar ada banyak benda kena belajar dan kita mungkin belum sampai atau berada pada tahap tersebut.
#G: Anda telah melalui banyak fasa dan sepak terajang dunia hiburan, terutama dalam belantika nyanyian. Jika tidak keberatan boleh kongsi bagaimana anda menjaga kualiti, kekal relevan dan sangat disanjungi sehingga kini?
SM: Ia tentang niat. Saya selalu pegang pesan arwah ayah. Niat masuk industri apa? Niat nak glamor tak akan tahan lama kerana lama mana glamor tu? Anda hanya perlu kerja keras dan glamor akan datang. Muzik dan kerja anda yang dilihat. Bukan sibuk popular tapi apa yang anda nak jual? Sebab tak ada sesuatu yang kuat untuk dipersembahkan.
Sekarang banyak orang tunggu likes, tak penting orang suka atau likes awak walaupun dengan 10 ribu likes tapi apa yang anda lakukan untuk naikkan kualiti diri dan bila orang tak likes atau berkurang, ia buat kita depresi.
Saya cuba sebaiknya menjadi contoh terbaik. Bukan nak suruh orang tengok kita saja glamor, tapi selaku anak seni kita kena perhati untuk sama-sama belajar.
Pernah Terfikir Untuk Bersara 8 Tahun Lepas
#G: Bercakap tentang kualiti. Kadang-kadang ada yang lupa semakin meningkat usia, tenaga yang disalurkan juga tidak seperti zaman muda, ini termasuklah teknik nyanyian seperti menurunkan key. Anda melakukan itu (turun key)? Tidak ego?
SM: Ada penyanyi yang memang boleh menyanyi pada key yang sama. Tapi untuk saya, saya tak malu turunkan key bukan seperti dalam album. Tak perlu buktikan kepada orang, hit note atau tidak. Belajar untuk melepaskan perasaan untuk berada dalam notasi yang sama, yang tinggi, rileks. Untuk apa ego untuk memudaratkan persembahan.
Nyanyi nak show off kenapa? Nyanyi untuk menghiburkan, bukan exam to show off. Ini mind set yang kita kena tukar.
#G: Show off. Zaman kini media sosial secara tak langsung menjadi medan untuk semua orang show off. Apa lagi jika terbabit dalam dunia glamor. Anda pernah terjebak dalam dunia show off atau menggunakan media sosial untuk show off?
SM: Sekali lagi saya pegang pesan arwah ayah. Arwah ayah selalu pesan hidup ikut kemampuan, tak ada duit duduk diam di rumah. Kalau tak mampu, tak perlu, orang pun tak kisah.
Pakaian kalau pakai jeans dan t shirt saya rasa tak ada masalah tapi muzik yang dahsyat itu lebih penting.
Tentang media sosial pula sebenarnya bagus untuk promosi, sebarkan hebahan. Jangan marah kalau orang kritik kerana reaksi orang bergantung kepada konten yang diberikan kepada umum. Saya gunakannya juga. Tapi saya tidak tunjuk semua benda di media sosial. Tak perlu, untuk saya secara peribadi kerana ia akan ‘memanggil’ lebih banyak komen.
#G: Datuk Sheila Majid telah meninggalkan sebuah tanda aras yang tinggi untuk dicapai — dari segi kualiti dan penampilan sebagai seorang figura dalam masyarakat. Kelak, bagaimana anda mahu diri diingati?
SM: Saya cakap jujur. Saya sebenarnya sudah mahu bersara pada usia 50 tahun. 50 Saya rasa 50 tahun sudah cukup buat saya. Saya tidak bertanding dengan sesiapa. Im done. saya hanya perlu ‘bertanding’ dengan diri sendiri.
Tapi sekarang sudah masuk 58 tahun saya masih di sini kerana peminat mahukan saya. Alhamdulillah sehingga kini saya masih ada persembahan untuk dibuat.
Dan fasa ini lebih tenang berbanding masa muda. Dulu saya fikir macam mana saya boleh lakukannya (bekerja) pergi sana sini siang malam, tapi sebab masa itu pun muda. Jadi ada energi. Sekarang, saya menikmati hidup saya seadanya.