Laman Utama
Daus Eli (AF 8) Dedah Kisah Perceraian Dalam MV ‘Takdir Kita’ – “Saya Bukan Suka-Suka Nak Bercerai”
Penyanyi yang juga bekas perserta program realiti Akademi Fantasia (AF) 8, Daus Eli mengabadikan kisah dan perjalanan hidupnya menerusi lagu ‘Takdir Kita’.
Daus sebelum ini didakwa menceraikan isteri ketika masih dalam pantang selepas melahirkan anak ketiga mereka.
Enggan terus membiarkan perkara itu bersarang di minda, Daus paparkan kisah perceraiannya dalam persembahan video muzik (MV) Takdir Kita yang dilancarkan secara rasmi di saluran YouTube Nova Music Videos, Jumaat lalu.
“Apa yang pasti, segala persoalan terjawab dalam MV ini. Saya mahu beritahu kepada masyarakat dan netizen, saya bukan suka-suka nak bercerai.
“Walaupun ia kisah benar kehidupan saya, tapi tidak sepenuhnya dipaparkan. Saya masih mahu menjaga sensitiviti pihak lain,” katanya.
Daus berkata, jalan cerita MV arahan Azuad Abdullah itu memaparkan 60 peratus kisah perkahwinan dan perceraiannya selain menjawab segala persoalan yang timbul dalam kalangan masyarakat sebelum ini.
“Tidak mahu timbul sebarang isu pula. Cuma, menerusi jalan cerita MV ini, ia adalah salah satu cara saya mahu mendekati masyarakat.
“Sejujurnya, idea MV ini daripada saya sendiri. Tapi, saya bersama pasukan daripada pihak pengurusan Nova Music berbincang untuk menambah baik apa yang perlu supaya MV ini lebih menarik,” katanya.
Seperkara yang tidak boleh dinafikan Daus adalah, dia mengakui sebak sekali gus mengimbau kenangan lama ketika penggambaran dibuat.
“Apabila buat MV ini, memang terasa sebak kerana ia mengembalikan memori lama. Tapi saya cuba tahan perasaan sebab tak boleh nak terlalu terbawa-bawa. Saya masih boleh kawal.
“Saya cuma fikir, apa yang dipaparkan dalam MV ini bukan mengenai saya semata-mata tapi, pasti ada orang lain pernah melalui pengalaman sama. Ibaratnya saya mewakili perasaan mereka dengan menceritakan kisah mereka dalam MV ini.
“Walaupun tidak meraung, tapi nampak kesedihan dilalui dalam babak yang dilakonkan dalam MV ini,” katanya.
Ditanya tidakkah dia bimbang jika dikatakan masih belum ‘move on’ sebab memaparkan kisah peribadi dalam MV, Daus ada jawapan tersendiri.
“Sebenarnya, saya sudah lama ‘move on’. Namun, apabila saya perdengarkan lagu ini pada pihak pengurusan, mereka berminat untuk keluarkan.
"Alasan utama, lagu ini lebih matang dan kena dengan peredaran muzik semasa. Ditambah pula lagu ini ada kaitan dengan kehidupan diri saya sendiri.
“Disebabkan itu, MV ini pun mengisahkan tentang kehidupan saya. Jalan cerita adalah kisah benar berdasarkan lagu. Kiranya, dalam MV ini memaparkan peristiwa awal perkahwinan sehingga bercerai,” katanya.
Takdir Kita terbitan dan edaran Nova Music Malaysia dilancarkan di semua platform digital muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox dan Deezer, pada 28 Ogos lalu.
Serentak dengan itu, video muzik lirik Takdir Kita juga boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’.