Laman Utama

Dayang Nurfaizah Sanggup Terbang Ke Budapest Demi Belagu 11

Syafiqah Jalal
27/01/2023
15:45 MYT
Sponsor Banner
Dayang Nurfaizah Sanggup Terbang Ke Budapest Demi Belagu 11
Penyanyi tersohor yang sudah meraih pelbagai anugerah,Dayang Nurfaizah atau mesra disapa Dayang sudah siap sedia untuk melancarkan album studio kesepuluhnya. Album ini juga merupakan sekuel kepada album Belagu yang dilancarkan pada tahun 2021.
Belagu sebelum ini sudah mencipta kejayaan yang membanggakan bila mana ia meraih beberapa anugerah di Anugerah Industri Muzik tahun lalu.
Membawa maksud ‘menyanyi’ dari dialek Melayu Sarawak, album Belagu disempurnakan dengan lapan trak klasik Melayu. Kesemua lagu tersebut dipersembahkan dengan cara Dayang yang tersendiri dalam nafas segar hasil susunan muzik dan terbitan produser disegani ramai, Aubrey Suwito.
Menariknya, vokal dan muzik bagi album Belagu sebelum ini dirakamkan secara langsung yang mana Dayang diiringi oleh barisan pemuzik dibawah pimpinan Aubrey Suwito sendiri.
Secara keseluruhannya Belagu mempersembahakan barisan lagu klasik dalam perspektif yang lebih segar. Sambutan yang diterima Belagu diluar jangka apabila album ini diraikan bukan sahaja oleh penggemar muzik di Malaysia malah Singapura dan Brunei. Tambah membanggakan album ini juga menerima pujian dari kalangan individu penting industri muzik sendiri termasuk media.
Belagu menerima empat pencalonan di Anugerah Industri Muzik (AIM23) dan berjaya membawa pulang tiga trofi menerusi kategori Rakaman Lagu Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik menerusi lagu ‘Tudung Periuk’ dan Rakaman Album Terbaik.
Kejayaan Belagu mendorong Dayang untuk menyajikan sesuatu yang lebih menarik dan berkualiti menerusi Belagu II. Album ini dibarisi sembilan buah lagu yang menjanjikan pengalaman muzik yang lebih mengasyikan buat pendengar. Kesemua lagu untuk Belagu II masih menerima sentuhan magis Aubrey Suwito baik dari segi susunan muzik mahu penerbitan album ini secara keseluruhannya.
Dayang memberitahu ilham atau konsep penghasilan Belagu, dihasilkan adalah untuk memperkenalkan dan merapatkan generasi baharu dengan lagu- lagu klasik Melayu.
“Demi memastikan objektif ini terlaksana adalah penting untuk kualiti muzik yang dihasilkan seiring dengan kehendak dan selera pendengar hari ini. Atas penerimaan Belagu yang sangat positif, Dayang dan pasukan kerja Dayang sedar bahawa kami perlu lakukan sesuatu yang lebih besar untuk sajian kepada penggemar muzik.
“Impian ini diterjemahkan menerusi BELAGU II, satu produksi muzik yang sangat tinggi cita-cita dan harapannya, yang mahu membawa satu pengalaman menikmati muzik yang lebih mengasyikan. Impian ini akhirnya melahirkan sebuah album yang disempurnakan dengan pelbagai lagu klasik Melayu.
“Impian ini mencabar kami untuk bermain dengan imaginasi bagaimana sesebuah lagu klasik Melayu itu dipersembahkan di pentas dunia. Dan kerana itu jugalah mengapa kami mengambil keputusan untuk berkolaborasi dengan orkestra terkenal dunia, Budapest Scoring Orchestra (BSO).
Kami percaya peminat BELAGU II akan disajikan dengan pengalaman berhibur dengan lagu-lagu klasik kita dengan bunyi-bunyian yang lebih mewah,” tambah Dayang.
Dengan harapan BELAGU II akan menawarkan pengalaman muzik nan unik, Dayang terbang ke Budapest, Hungary pada September 2022 untuk merakamkan kesemua muzik bersama-sama BSO.
Secara kebetulan, di saat album Belagu diiktiraf pencapaiannya di AIM23, Dayang juga sedang berada di Budapest menyaksikan sendiri momen keemasan- lagu-lagu klasik Melayu BELAGU II dimain dan dirakamkan oleh 40 pemuzik (hari pertama) dan seramai 50 pemuzik (hari kedua) di bawah naungan maestro muzik Péter Illényi. Proses rakaman muzik ini dilangsungkan di Rottenbiller Hall, salah satu studio ikonik di Budapest.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar