Laman Utama
Dedah Deritai Masalah Kesihatan Mental, Deepika Padukone Dituduh Terima Bayaran
Aktres Deepika Padukone mendedahkan dirinya dituduh menerima bayaran atau sedang mempromosikan produk kesihatan dan karya terbaharunya selepas mengumumkan dirinya mengalami masalah kemurungan.
Kenyataan tersebut diberikan sewaktu dia muncul menjadi tetapi dalam podcast milik Meghan Markle, Archetypes.
Pendedahan tersebut dibuat apabila mereka berbincang tentang topik kesihatan mental sempena sambutan bulan kesihatan mental.
“Jadi sewaktu saya dedahkan diri mengalami masalah kesihatan mental iaitu kemurungan, ada sebahagian yang mengatakan saya dibayar untuk memberi kenyataan sedemikian.
“Ada yang kata saya sedang promosi filem dan dibayar pihak farmasi untuk produk mereka.
“Malah ada artikel yang mendakwa saya dibayar pihak farmasi dan akan mula mengiklankan ubat berkaitan masalah kesihatan mental,” ujar Deepika seperti dilaporkan Hindustan Times.
Menurut Deepika, dirinya telah didiagnos mengalami kemurungan pada tahun 2015. Ibunya adalah individu yang mengesan dirinya mengalami masalah kesihatan mental dan meminta dia mendapatkan pertolongan dari pakar kesihatan.
Dia kemudian dengan terbuka berkongsi penderitaan yang dialaminya kepada umum pada saat isu kesihatan mental masih menjadi masalah yang disembunyikan penghidapnya.
“Untuk kebanyakan masyarakat India, bercakap tentang isu ini seperti satu tabu. Namun ramai yang lega kerana akhirnya ada orang yang berani bercakap dan memberi pengetahuan tentang kesihatan mental,” ujarnya.
Selepas didiagnos dan mendedahkan penderitaannya, Deepika menubuhkan sebuah organisasi untuk membantu individu dengan masalah kesihatan mental yang dipanggil Live Love Laugh.
Foto: BOF