Hiburan

Demi Kebajikan Penyanyi & Pemuzik, Draf Akta Perbadanan Muzik Akan Dibentang Ke Kabinet

Amri Hassan
20/11/2020
00:20 MYT
Sponsor Banner
Demi Kebajikan Penyanyi & Pemuzik, Draf Akta Perbadanan Muzik Akan Dibentang Ke Kabinet
Demi menjaga kebajikan karyawan seni muzik, satu dasar khas berkenaan industri muzik tempatan akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet selewat-lewatnya akhir tahun ini.
Jelas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, inisiatif itu dibuat kerana masih tiada kerangka khusus sama ada badan atau undang-undang jelas untuk mengendalikan hal ehwal berkaitan muzik melibatkan penyanyi, pemuzik dan mereka berkaitan.
Justeru kata Saifuddin, pihaknya kini sedang menyiapkan draf berkenaan Akta Perbadanan Muzik walaupun tidak semua perkara boleh diselesaikan secara undang-undang.
"Kita masih belum mempunyai kerangka khusus bagi pihak kerajaan untuk menjaga kebajikan pemuzik dan penyanyi.
"Jika bidang perfileman kita ada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Akta FINAS 1981 namun tidak dalam bidang muzik.
"Bukan langsung tiada, kerana kita ada bantuan dari segi dana kandungan digital dan sebagainya, tetapi perlu ada satu kerangka mengenai soal pembangunan, promosi di peringkat antarabangsa dan soal kebajikan mereka," katanya kepada Gempak pada Khamis.
Saifuddin ditemui ketika menyampaikan sumbangan kepada 50 pemuzik tanah air yang terjejas pendapatan dan tidak punyai pekerjaan ekoran pandemik COVID-19.
Tambah Saifuddin lagi, pihaknya dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri telah mencapai persefahaman bahawa hal berkenaan muzik akan diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
"Namun punca kuasa rasminya itu belum ada, jadi atas dasar tanggungjawab, kita rasa dah sampai masanya kerajaan perlu mempunyai dasar yang jelas tentang muzik khususnya siapa yang benar-benar bertanggungjawab untuk menguruskan hal ehwal muzik," ujarnya.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar