Laman Utama
Demi Konten, YouTuber Sanggup Bawa Anak 5 Bulan Naik Jetski & ATV
Ria Ricis dan suaminya, Teuku Ryan sedang menjadi kecaman netizen gara gara sikap yang disifatkan sebagai tidak peka dan membahayakan bayi mereka, Moana.
Moana baru berusia lima bulan, tetapi YouTuber terkenal Indonesia itu sudah berani membawa anak perempuannya itu melakukan aktiviti ekstrim.
Pasangan selebriti itu antaranya dilihat dengan bangga berkongsi momen mereka menaiki jetski. Ria dan Ryan dilihat memakai jaket keselamatan, tetapi bayi mereka dibiarkan tanpa sebarang alat yang boleh mencegah kepada insiden.
Apa yang membuat netizen mengecam mereka juga kerana usia Moana dirasakan belum sesuai untuk menaiki jetski.
Belum reda dikecam tentang sikap mereka yang tidak sensitif sewaktu membawa Moana naik jetski, Ria sekali lagi mempamerkan aksi yang dirasakan berbahaya buat bayinya.
Menerusi video yang dikongsi, Ria dlihat mendukung anak dengan suaminya memandu kenderaan ATV.
“Naik ATV tapi ngantuk. Terima kasih ya Moana, sudah bekerjasama dengan baik. We love you, Moana," kata Ria Ricis dalam video tersebut seperti dipetik daripada Detik.com.
Alasan Ria, dia mahu anaknya mengenal dunia sukan ekstrim dan akan menyukainya satu hari nanti.
Meski dia bangga dengan perbuatannya, tindakan Ria terus dikecam. Netizen bimbang mengenai keselamatan Moana walaupun bayi itu didukung. Namun seperti menaiki jetski, Moana juga dilihat tidak dipakaikan dengan sebarang alat mencegah kemalangan.
Ramai netizen mengatakan tindakan yang dilakukan terlalu awal dan tidak sesuai dengan usia anak yang masih bayi.
Mereka juga menasihatkan agar Ria dan suaminya berhenti membuat konten yang boleh mendatangkan kecederaan kepada Moana.