Laman Utama
Demi Seni & Sempena Bulan Kesedaran Kesihatan Mental, Video Kate Moss Tidur Terjual RM62,000
Video milik Kate Moss sedang tidur yang berdurasi hanya beberapa saat berjaya dilelong dengan harga sekitar RM62,000 dalam sebuah majlis amal.
Majlis tersebut dilakukan bersempena dengan bulan kesedaran mental yang berlangsung pada tahun ini dengan tajuk video Sleep with Kate.
Video tersebut diberikan kebenaran oleh Moss untuk dilelong sebagai tanda sokongannya terhadap seni dan bulan kesihatan mental.
Dalam video Sleep With Kate, model berusia 47 tahun tersebut dilihat berbaring di atas tangannya, seperti sedang tidur.
Menurutnya, dia bersetuju untuk terlibat dalam projek tersebut kerana sangat menghargai seni.
"Seni buat saya selalu mengenai momen. Momen adalah perkara yang tidak pernah cukup. Dan ia tidak menunggu sesiapa, kecuali kita yang menginginkan momen tersebut," katanya seperti dipetik dari Daily Mail.
Tambah Moss, oleh yang demikian dia tidak keberatan untuk berkongsi beberapa siri video dirinya termasuk sedang tidur dan berjalan di atas sebatang kayu kecil yang diberi nama Walk With Kate. Video tersebut pula terjual sekitar RM30,000.
Video itu boleh dilihat oleh semua orang, namun ia dimiliki oleh pembeli yang telah membayar dengan harga cukup lumayan.
Moss yang memulakan kariernya pada usia 15 tahun pernah memberitahu dirinya tidak selesa dipotret atas nama seni terutama dirakamkan dalam keadaan bogel saat di awal kariernya.