Berita
Demi Single 'Jaga Hati', Bienda Sanggup Berhenti Kerja Sebagai Penyampai Radio
Penyanyi Bienda mengakui terpaksa mengambil keputusan berhenti menjadi penyampai radio demi single terbarunya, Jaga Hati.
Menurutnya, single ini siap setahun lalu tetapi tidak boleh dikeluarkan kerana terikat dengan kontrak di sebuah stesen radio di Pantai Timur.
"Banyak pengorbanan untuk single ini sehingga terpaksa berhenti sebagai penyampai radio. Walaupun banyak tawaran yang diterima apabila balik dari sana, saya tangguhkan dulu untuk keluarkan single ini," katanya kepada Astro Gempak.
Bekas peserta program Gema Gegar Vaganza tahun lalu ini juga menyatakan rezekinya bertambah selepas berhenti kerja, termasuk peluang menjadi duta produk.
Jelasnya, single terbaru ini sudah dipasarkan dalam talian sejak Disember tahun lalu dan turut merakam muzik video di Lombok, Indonesia.
Kali ini, Bienda juga bekerjasama dengan Warner Music Malaysia untuk melancarkan single ciptaan DJ Fuzz dan lirk, Alabas.
"Ia berbeza dengan konsep lagu saya sebelum ini yang world music kerana apabila saya sebagai penyampai radio, saya banyak mengkaji dan mendengar lagu-lagu yang pendengar mahu.
"Maknanya, kita tidak boleh buat lagu yang kita suka. Selepas lagu Penantian, saya ada hasilkan album sendiri, Bienda Kenaliku, berkolaborasi dengan Yassin, Amy Search dan Eddrie Hashim tapi benda itu 'stuck' macam tu je," katanya.
Jelasnya, album tersebut kurang mendapat sambutan meskipun sudah melakukan aktiviti promosi.
"Memang sayang sebab duit daripada menyanyi dan berlakon selama ini saya gunakan untuk album itu tapi tiada sambutan. Memang kecewa," katanya.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Astro Gempak