Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Di Sebalik Debut Solo Cha Eun Woo, Jelajah Bertemu Peminat & Perancangan Karier Sepanjang 2024

Izwan Isa 02/03/2024 | 13:55 MYT
Pada 24 Februari lalu, penyanyi dan pelakon Cha Eun Woo singgah ke Kuala Lumpur bagi menjayakan fan concert solo pertamanya, 2024 Just One 10 Minute (Mystery Elevator) yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.
Anggota kumpulan ASTRO itu bukan sahaja menggunakan peluang berkenaan untuk bertemu dan beramah mesra dengan peminatnya, malah Eun Woo turut menghiburkan mereka yang hadir dengan lagu-lagu baharunya.
Berpeluang mengadakan wawancara bersama Eun Woo menerusi e-mel beberapa hari sebelum berlangsungnya acara yang paling ditunggu-tunggu itu, Gempak merumuskan apa yang boleh dijangkakan oleh peminat Eun Woo sepanjang 2024 selain kisah di sebalik album solo perdananya, Entity.
Jom semak!
Gempak: Hello Eun Woo. Kamu (bakal) menjayakan fan concert dan ini bukanlah kali pertama kamu ke Kuala Lumpur, Malaysia. Bagaimanakah perasaan kamu bertemu kembali dengan peminat dalam skala yang besar?
Eun Woo: Rasanya dah lama tak jumpa peminat di Malaysia. Saya sangat gembira dan teruja untuk bertemu semula dengan peminat di konsert. Saya telah menyediakan banyak perkara untuk rancangan ini, jadi saya harap anda semua menantikannya.
Gempak: Judul fan concert kamu ialah 2024 Just One 10 Minute (Mystery Elevator). Mengapakah kamu memilih konsep misteri untuk fan concert kali ini?
Eun Woo: Fan concert ini adalah acara yang saya wujudkan dengan mengambil peminat sebagai inspirasi. Ia adalah peranti di mana, apabila memasuki lif, peminat boleh pergi ke mana sahaja mereka mahu, ke tempat yang mereka inginkan, serta ke tempat yang saya dan peminat ingin lawati. Untuk acara ini, alangkah baiknya jika kamu boleh menganggap 'Misteri' bukan sebagai thriller tetapi sebagai fantasi romantik.
Gempak: Album solo debut kamu diluncurkan pada 15 Februari 2024, beberapa hari sebelum acara fan concert bermula. Adakah kamu bakal menyanyikan lagu-lagu daripada album Entity?
Eun Woo: Saya teruja, tetapi beraksi di atas pentas setelah sekian lama juga membuatkan saya agak gementar. Namun begitu, ia adalah saat untuk mempamerkan apa yang telah saya sediakan sejak sekian lama, maka timbullah rasa gembira dan puas.
Gempak: Selepas lapan tahun bergelar penyanyi, akhirnya kamu meluncurkan album solo. Boleh kongsikan sedikit mengenai Entity dan mengapa ia begitu istimewa buat kamu?
Eun Woo: Ia adalah album solo pertama saya, dan mungkin kerana saya mengambil bahagian dalam setiap aspek - daripada menulis semua lirik hingga keseluruhan proses pembikinan album, ia terasa lebih bermakna bagi saya.
Gempak: Peminat sangat ‘menggilakan’ siri terbaharu kamu, A Good Day To Be A Dog yang kini tersedia di Viu. Kamu juga telah dicalonkan menerusi MBC Drama Awards untuk kategori Top Excellence Award, Actor In Miniseries. Bagaimanakah anda melihat A Good Day To Be A Dog adalah istimewa berbanding siri lain yang anda telah hadiri?
Eun Woo: Ia seperti sebuah karya dengan daya tarikan istimewa yang diperoleh daripada premisnya. Idea sumpahan yang mengubah seseorang menjadi anjing apabila mencium menambahkan unsur lucu dan menarik, menjadikannya pengalaman yang lebih unik untuk penonton.
Gempak: Kami menonton klip video di Mantul Korea di mana kamu mencuba buah manggis. Adakah ada makanan tertentu yang kamu ingin cuba atau makan lagi apabila kamu kembali ke Malaysia?
Eun Woo: Kali terakhir saya ke Malaysia, pasukan pengurusan saya makan ketam. Jadi kali ini saya teringin nak merasai ketam jika ada masa.
Gempak: Sekitar tahun lepas, kamu memuat naik video di Youtube detik istimewa bertemu Peder Elias. Bolehkah peminat mengharapkan kerjasama kamu dengan Peder?
Eun Woo: Belum ada yang disahkan (mengenai kerjasama) lagi, tetapi memandangkan ia adalah satu kenangan yang juga amat saya raikani, jika ada peluang, saya ingin berkolaborasi sekali lagi.
Gempak: Apakah target kamu untuk 2024?
Eun Woo: Ketika saya memulakan konsert jelajah, saya ingin bertemu peminat dari pelbagai negara secara peribadi. Selain itu, dengan pelancaran siri baharu iaitu Wonderful World yang akan datang, saya berharap untuk terus menunjukkan pertumbuhan baik sebagai penyanyi dan juga pelakon.
Foto kredit: Viu Malaysia

BERITA TRENDING: Pandai Berbahasa Melayu, Cha Eun Woo Siap Panggil Sayang! Buat Peminat Makin Jatuh Hati

BERITA TRENDING: Cha Eun Woo Singgah Ke Kuala Lumpur Februari Depan Menerusi Jelajah 2024 Just One 10 Minute (Mystery…

#Cha Eun Woo #Gempak Chingu
;