Laman Utama
"Dia Pernah Hidup Susah, Sebab Tu Dia Tak Nak Orang Lagi Susah" - Dafi Bangga Dengan Kejayaan Bapa
Penyanyi yang juga anak kepada Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Dafi akui bangga dengan kejayaan bapanya hari ini.
Kata Dafi atau nama sebenarnya Gadaffi Ismail Sabri, 33, yakin bapanya akan menggalas tanggungjawab itu dengan baik sepertimana unggul peribadinya sebagai seorang bapa.
"Saya meletakkan diri sebagai seorang rakyat Malaysia biasa. Sudah tentu bila ada pemimpin yang baharu, kita mahukan beliau lakukan yang terbaik dan saya yakin papa akan lakukan sebaik yang mungkin.
"Secara peribadi, saya melihat dia seorang yang bekerja keras. Kejayaan beliau sekarang ini adalah hasil kerja kerasnya yang bermula dari bawah. Sejujurnya, hanya saya dan keluarga saya saja tahu betapa dia seorang bapa yang terbaik.
"Begitu juga apabila dia menjadi seorang pemimpin yang inginkan terbaik untuk seluruh rakyat. Dia pernah hidup susah sebab itu dia tak nak lihat orang lagi susah," ujarnya.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri yang baharu pada Jumaat.
Ismail Sabri akan menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu selepas Ahli Parlimen Pagoh itu hilang majoriti sokongan di Dewan Rakyat.