Laman Utama
"Dia Sentiasa Terbuka Untuk Perbincangan" - Fatimah Abu Bakar Puji Sikap Profesional Kabir Bhatia
Filem terbaharu arahan Kabir Bhatia, Kerana Korona telahpun menjengah pawagam di rumah anda menerusi Astro First (saluran 480) bermula 21 Januari lalu.
Seperti yang dapat disaksikan, filem ini menampilkan barisan pelakon hebat tanah air, salah seorangnya adalah Fatimah Abu Bakar.
Ketika ditemubual Gempak, Fatimah akui seronok bekerja di bawah arahan pengarah berbakat itu.
"Saya seronok bekerja di bawah arahan Kabir, boleh dikatakan tiada tekanan pun.
"Kabir merupakan seorang pengarah yang suka berbincang, dia sentiasa bersikap terbuka dan menerima pandangan, jadi, saya banyak berbincang mengenai skrip, aspek lakonan malah topik-topik lain berkaitan penghasilan filem bersamanya," kata Fatimah.
Tambah Fatimah, orang ramai perlu menonton Kerana Korona kerana ia mampu membuat penonton menyelami perasaan gembira, marah, lucu dan sedih.
"Filem ini boleh buat penonton rasa pelbagai perasaan seperti gembira, marah, lucu dan sedih.
"Harus tonton kerana ia mengisahkan penceritaan keluarga yang sememangnya berlaku dalam masyarakat. Apa yang boleh saya katakan, ia merupakan satu naskah yang baik," katanya lagi.
Kerana Korona mengisahkan tiga cerita yang mempunyai pertalian, ia membawa penonton lebih menghayati nilai murni serta melihat dari sudut positif di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bukan itu sahaja, bagi babak di kampung yang ditonjolkan, mesej yang cuba disampaikan adalah apabila terjadi PKP ia membuatkan masyarakat Malaysia lebih bersatu membantu antara satu sama lain agar dapat sama-sama meneruskan perjuangan dalam waktu getir.
Selain Fatimah, Kerana Korona turut menampilkan barisan pelakon hebat lain seperti Rita Rudaini, Rashidi Ishak, Ummi Nazeera, Shasha Abedul, Datuk Jalaludin Hassan dan ramai lagi.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!