"Dia Sudah Sedar ..." - Zamani Selamat Jalani Pembedahan Tulang Belakang, Isteri Mohon Beri Ruang Berehat
Selepas 48 jam berada di bawah pemantau doktor, penyanyi Zamani dilaporkan sudah sedarkan diri selepas menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang badan yang melengkung akibat penyakit scoliosis di sebuah pusat perubatan di Cheras pada Isnin lalu.
Berkongsi mengenai perkembangan terkini, isteri kepada vokalis kumpulan Slam itu, Juliana Abd Rani melahirkan rasa syukur kerana proses pembedahan suami berjalan dengan selamat.
“Syukur Alhamdulillah berkat doa semua, Zamani sekarang sudah sedar dan berada di bawah pemantauan doktor di hospital. InshaaAllah dalam proses untuk dipindahkan ke wad biasa”, katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Juliana berkata buat waktu ini dia dan keluarga enggan menerima sebarang kunjungan daripada pihak luar kerana ingin memberi waktu kepada pelantun lagu Gerimis Mengundang itu mendapatkan rehat yang cukup. Malah, dia juga berharap semua pihak dapat memahami keadaan tersebut.
“Kami sekeluarga sangat menghargai keprihatinan semua yang mengambil berat dan bertanya khabar.
“Walaubagaimanapun kami memohon kerjasama dari semua pihak untuk memberi ruang kepada beliau dan keluarga diwaktu ini kerana Zamani masih berada di dalam keadaan lemah dan perlukan banyak rehat.
“Seperti mana yang semua sedia maklum pembedahan yang dijalankan adalah satu pembedahan yang besar maka untuk pulih dan kembali sihat pasti mengambil sedikit masa.
“Atas nasihat doktor Zamani perlu banyak berehat supaya rawatan dan pemulihan terhadap beliau berjalan dengan lancar.
“Kami memohon maaf kerana tidak dapat menerima sebarang tetamu untuk melawat Zamani buat masa ini. Diharap semua dapat memahami keadaan Zamani dan keluarga ketika ini,” tambahnya
Terdahulu, Zamani telah dibawa masuk ke dewan bedah sekitar jam 8 pagi Isnin dan prosedur pembedahan itu memakan masa hampir tujuh jam seperti yang dimaklumkan pakar perubatan.
Difahamkan juga, tempoh pemulihan Zamani akan mengambil masa antara dua hingga enam minggu. Malah, dia turut memerlukan tempoh selama tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya sebelum boleh aktif menyanyi semula.
Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini.